Seni kaligrafi mampu jana pendapatan tinggi

Abdul Baki menunjukkan seni kaligrafi jawi hasil karyanya.
Abdul Baki menunjukkan seni kaligrafi jawi hasil karyanya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula sekadar suka-suka, kini bidang seni kaligrafi tulisan jawi atau khat menjadi sebahagian daripada kehidupan Abdul Baki Abu Bakar dek kerana minat yang mendalam.

Memulakan kerjaya sepenuh masa sebagai pelukis seni itu sejak 20 tahun lalu, Abdul Baki, 49, berkata, banyak pengalaman manis dan pahit dilaluinya sebelum mengecapi kejayaan seperti hari ini.

“Antara cabaran besar yang dilalui sebelum ini ialah ingin mencari guru dan bahan untuk belajar. Namun, hari ini ia semakin mudah hanya di hujung jari segala perkara yang ingin dipelajari mengenai seni khat akan ditemui.

“Bahan bacaan juga semakin mudah untuk didapati. Cuma, minat atau tidak sahaja untuk seseorang itu belajar,” katanya yang terlibat secara aktif dengan Yayasan Restu.

Abdul Baki antara enam pelukis kaligrafi jawi yang menyertai Pameran Kaligrafi Asia Tenggara 2023 di Temple Thean Hou anjuran Gabungan Persatuan Kaligrafi Malaysia.

Di sebalik kemudahan untuk mempelajari seni kaligrafi jawi yang semakin senang untuk dicapai ketika ini, ada perkara yang masih membuatkan masyarakat kurang yakin dengan kerjaya sebagai pelukis kaligrafi.

Menurut Abdul Baki, antara perkara yang kerap ditanya ibu bapa apabila ingin menghantar anak-anak-anak mempelajari kaligrafi jawi adalah bagaimana dengan masa depan.

“Ramai ibu bapa tanya, kalau belajar khat ini hendak kerja apa? Ada masa depan atau tidak. Bagi saya ia sesuatu yang subjektif, sama juga apabila seseorang itu minat melukis.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya bidang seni kaligrafi jawi ini sangat meluas dan banyak cabang, permintaan juga tinggi terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam rekaan dalaman. Ramai yang semakin gemar hias rumah dengan seni kaligrafi terutama untuk hiasan surau di rumah.

“Jadi, bagi saya seni kaligrafi ini menawarkan pendapatan yang lumayan, asalkan kita serius dan tidak mudah mengalah,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai penglibatannya dalam Pameran Kaligrafi Asia Tenggara 2023, Abdul Baki berkata, ia bukan kerjasama kali pertama.

“Kami telah beberapa kali sertai pameran dan kursus bersama sebelum ini. Bagi saya pameran ini sangat baik untuk kita tingkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Malah katanya, kaligrafi jawi hasil karyanya juga mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan kaum Cina.

“Saya lihat seni kaligrafi tidak kira jawi atau Cina satu aspek positif untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini,” katanya.

Hasil karya Abdul Baki antara 170 seni kaligrafi yang dipamerkan melibatkan 10 negara Asia Tenggara menerusi pameran tiga hari bermula pada 15 September.