Jadikan Suruhanjaya Kanak-Kanak hadiah Hari Malaysia - OCC Suhakam

OCC Suhakam merayu supaya Suruhanjaya Kanak-Kanak dijadikan sebagai hadiah kepada semua kanak-kanak di Malaysia sempena meraikan sambutan Hari Malaysia. - Gambar hiasan 123rf
OCC Suhakam merayu supaya Suruhanjaya Kanak-Kanak dijadikan sebagai hadiah kepada semua kanak-kanak di Malaysia sempena meraikan sambutan Hari Malaysia. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) merayu supaya Suruhanjaya Kanak-Kanak dijadikan sebagai hadiah kepada semua kanak-kanak di Malaysia sempena meraikan sambutan Hari Malaysia.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki berkata, Suruhanjaya Kanak-kanak yang berperanan dan menjalankan fungsi serta mandat yang termaktub dalam akta tertentu, akan menjadi badan yang bertanggungjawab untuk membela dan mempertingkatkan hak kanak-kanak.

"...khususnya kanak-kanak komuniti terdedah termasuk Orang Kurang Upaya dan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Farah Nini berkata, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak bebas dengan aktanya adalah penting dalam melindungi dan mempromosikan hak semua kanak-kanak di Malaysia secara holistik dan sistematik.

Sehingga kini, lebih 50 negara di seluruh dunia telah menubuhkan badan pengawasan masing-masing untuk kanak-kanak, tambahnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan 12 pertubuhan masyarakat sivil bagi membela hak kanak-kanak menyokong sepenuhnya inisiatif untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak yang efektif dan bebas untuk Malaysia, bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia memperoleh kehidupan terbaik.

"Perlu ada peruntukan khusus untuk suruhanjaya tersebut supaya ia boleh mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen. Keputusan-keputusan dan cadangan-cadangan suruhanjaya tersebut patut diambil tindakan oleh setiap kementerian yang berkaitan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu, kesemua pertubuhan mencadangkan supaya Suruhanjaya Kanak-kanak tersebut dianggotai oleh sembilan ahli yang dilantik, dengan pengalaman sesuai, ilmu pengetahuan berkaitan hak-hak kanak-kanak di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mereka patut mewakili kepelbagaian Malaysia dan termasuk orang-orang asal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, menurut kenyataan itu. - Bernama