Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak ditubuhkan kuat kuasa 1 September

Nancy
Nancy
A
A
A
PUTRAJAYA - Jabatan Pembangunanan Kanak-kanak ditubuhkan berkuat kuasa 1 September lepas bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, jabatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing.

"Jabatan ini diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Susulan itu, katanya jabatan itu telah meluluskan 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred untuk tahun ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Selain itu, katanya usaha menggerakkan komuniti yang telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung juga akan ditingkatkan di semua 105 daerah.
Artikel Berkaitan:


Nancy turut meminta orang ramai untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau menerusi Whatsapp di talian 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Anwar semasa membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak. - Bernama.