Kalah main bola, pengadil kena kejar

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pengadil yang mengendalikan perlawanan bola sepak kelab tempatan dikejar sekumpulan pemain dan jurulatih dipercayai akibat tidak puas hati di Taman Dr Seenivasagam pada Khamis.
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang pengadil yang mengendalikan perlawanan bola sepak kelab tempatan dikejar sekumpulan pemain dan jurulatih dipercayai akibat tidak puas hati di Taman Dr Seenivasagam pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Seorang pengadil yang mengendalikan perlawanan bola sepak kelab tempatan dikejar sekumpulan pemain dan jurulatih dipercayai akibat tidak puas hati dalam satu kejadian di Taman Dr Seenivasagam dekat sini.

Kejadian sekitar jam 6.55 petang pada Khamis itu berlaku semasa perlawanan separuh akhir antara dua kelab liga bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang pergaduhan atau kecederaan.

"Tiada sebarang laporan polis diterima mengenai kejadian terbabit.

"Siasatan awal mendapati, jurulatih dan pemain yang kalah dalam perlawanan itu kecewa terhadap mutu pengadilan lalu mengejar pengadil sebaik perlawanan berakhir," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kejadian itu menarik perhatian umum selepas video memaparkan kekecohan semasa perlawanan terbabit dikongsi di media sosial.

Video berdurasi 49 saat itu menunjukkan seorang pengadil lari hingga ke luar padang dalam keadaan cuba menyelamatkan diri daripada dikejar sekumpulan pemain dan jurulatih.

Situasi itu bagaimanapun berjaya dikawal orang awam yang berada di tempat kejadian yang menjerit meminta jurulatih dan pemain bertenang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yahaya meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tular itu.

"Penyebaran maklumat palsu mengenai rakaman itu hanya mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum," katanya.