PNM lancar e-katalog kompilasi 32 karya berkaitan Anwar

PNM pada Jumaat melancarkan bahan terbitan elektronik baharu, e-katalog ‘Beranotasi Datuk Seri Anwar Ibrahim’.
PNM pada Jumaat melancarkan bahan terbitan elektronik baharu, e-katalog ‘Beranotasi Datuk Seri Anwar Ibrahim’.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada Jumaat melancarkan bahan terbitan elektronik baharu, e-katalog ‘Beranotasi Datuk Seri Anwar Ibrahim’ iaitu kompilasi 32 buku koleksi bahan, hasil karya Perdana Menteri atau yang berkaitan dengan pemimpin itu.

Ketua Pengarah PNM, Salasiah Abdul Wahab berkata, e-katalog berkenaan merupakan antara usaha PNM memastikan gagasan dan aspirasi Malaysia Madani dapat menjadi khazanah warisan intelek negara untuk rujukan generasi kini dan akan datang.

"Antara judul yang terdapat di dalam e-penerbitan ini ialah ‘Keuntungan Dengan Tanggungjawab Sosial (Siri Ucapan Dasar)’ yang diterbitkan oleh Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa pada 1993.

"Naskhah ini merupakan teks ucapan yang disampaikan oleh Anwar selaku Menteri Kewangan (ketika itu) bersempena dengan seminar Ke Arah Negara Maju: Ketangkasan Ekonomi dan Tanggungjawab Sosial,” katanya pada pelancaran e-katalog itu sempena Program Hari Malaysia 2023 Peringkat PNM di sini pada Jumaat.

Turut dilancarkan, e-buku ‘Erti Kemerdekaan Bagi Rakyat Malaysia’ iaitu pengumpulan slogan kemerdekaan yang terhasil daripada Kuiz Kemerdekaan Dalam Talian anjuran PNM yang bermula pada 1 hingga 31 Ogos.

Salasiah berkata kuiz itu menerima 28,031 penyertaan daripada seluruh negara dan kesemua slogan berkenaan boleh dibaca di dalam e-buku tersebut.

Beliau berkata penerbitan kedua-dua bahan secara elektronik itu amat bermakna, signifikan dan tepat pada masanya selari dengan usaha kerajaan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Bulan Kebangsaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: