Melaka perkenal 3 produk baharu tingkat sistem pengangkutan awam

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) memperkenalkan kad Panorama Melaka yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai pada Program Promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan) memperkenalkan kad Panorama Melaka yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai pada Program Promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka pada Jumaat memperkenal tiga produk baharu dalam usaha memastikan sistem pengangkutan awam di negeri itu sentiasa efisien dan efektif.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, produk berkenaan ialah 'Bus On Demand' dikenali sebagai Kumpool Kasturi, aplikasi ETA GPS Journey Planner dan bayaran tanpa tunai bagi menaiki bas henti-henti yang disediakan oleh Panorama Melaka.

Beliau berkata, pengenalan ketiga-tiga produk juga selaras dengan kesiapsiagaan kerajaan negeri untuk menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) sekali gus menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam terbaik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Setakat ini, kita menyediakan lapan Kumpool Kasturi yang akan beroperasi di kawasan sekitar Bandaraya Melaka dan ia merupakan perkhidmatan bas pengantara.

"Perkhidmatan ini menggunakan aplikasi pintar berkonsepkan atas permintaan dan tambang yang dikenakan adalah berpatutan serendah RM1 selain kaedah bayaran tanpa tunai," katanya kepada pemberita pada Jumaat selepas Program Promosi TMM 2024 dan pelancaran ketiga-tiga produk yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata, inisiatif itu telah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat dan jumlah bas pengantara akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan atau permintaan.

Beliau berkata, pengenalan pengangkutan awam itu dilihat dapat memastikan penyuraian trafik di bandar raya, terutama Banda Hilir, menjadi lebih efektif dan lancar.

"Pengguna boleh meletakkan kenderaan di luar kawasan Banda Hilir atau di tempat penginapan masing-masing dan boleh melanggan perkhidmatan ini untuk ke mana-mana destinasi di Bandaraya Melaka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ab Rauf berkata, aplikasi ETA GPS Journey Planner pula memaparkan maklumat mengenai tempat menarik, restoran dan kawasan di sepanjang laluan selain promosi pengiklanan, pilihan laluan serta corak trafik kepada pengguna.

Katanya, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan jadual bas henti-henti atau Panorama Melaka selain membeli tiket secara dalam talian. - Bernama