Fokus program tingkatkan ekonomi belia: MBM

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyambut ulang tahun pertama pentadbirannya baru-baru ini, perlu lebih bekerja keras dalam usaha memperkasa ekonomi golongan belia menjelang baki empat tahun tempoh mandat yang diberikan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha dalam kenyataan hari ini, berkata pada Mei tahun lepas, terdapat golongan anak muda yang mengundi PH kerana ingin melihat situasi ekonomi mereka terbela namun keadaan masih sama buat kumpulan itu pada masa ini walaupun setelah setahun berlalu.

Justeru, katanya MBM mencadangkan beberapa inisiatif boleh diambil kerajaan dalam menangani nasib golongan belia tersebut yang terbeban dengan pelbagai masalah berkaitan ekonomi.

Beliau berkata antara cadangan itu ialah mempercepatkan usaha penubuhan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani pengangguran dalam kalangan anak muda.

“Jawatankuasa ini juga perlu membuat konsultasi dengan kumpulan-kumpulan anak muda bagi mendapatkan formula penyelesaian sesuai mengenai masalah pengangguran.

“Kita juga mencadangkan supaya kerajaan berusaha meningkatkan gaji minimum ke paras RM1,800 (sebulan) dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Jufitri berkata kerajaan juga dicadangkan supaya mempertingkatkan pembangunan dan kemudahan yang seimbang di seluruh negara khususnya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata pembangunan itu juga haruslah meliputi peningkatan akses dan kelajuan Internet ke kawasan luar bandar bagi menggalakkan ekonomi digital dan mengelak penghijrahan belia ke bandar.

“MBM juga mahu kerajaan memperuntukkan dana untuk latihan e-usahawan dan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi menggalakkan penglibatan belia dan rakyat dalam ekonomi digital sekali gus merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Jufitri berkata MBM akan terus memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak dan rakan strategik dalam pembangunan negara bagi bersama-sama membangunkan belia serta bekerjasama melaksanakan cadangan dikemukakan itu.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia