113,708 kes kemalangan direkod di Selangor

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 113,708 kes kemalangan direkodkan di Selangor dalam tempoh lapan bulan tahun ini sejak Januari.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 10,704 kes atau 10.39 peratus berbanding tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Menurutnya, bagi kemalangan maut pula, 709 kes direkodkan tahun ini berbanding 658 kes tahun lalu bagi tempoh Januari hingga Ogos sekali gus mencatatkan peningkatan 51 kes.

"Selain itu, terdapat tiga kes kemalangan libat pegawai dan anggota (polis) tahun ini melibatkan kematian, cedera parah (satu kes) dan cedera ringan (satu kes).

"Dinasihatkan semua pengguna jalan raya agar memandulah secara berkhemah, utamakan keselamatan diri dan patuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak polis telah melaksanakan kempen-kempen keselamatan jalan raya supaya pengguna-pengguna jalan raya sedar akan kepentingan untuk menjaga keselamatan diri sendiri, keluarga dan juga orang lain.

Katanya, kesedaran inilah akan mengubah kejayaan dalam mengurangkan kemalangan dan menggambarkan keberhasilan serta impak kempen-kempen yang dijalankan oleh semua pihak.

"Saya seru kepada warga Polis Selangor khususnya dalam bersama melangkah dan meneruskan misi dan visi pasukan ke arah mewujudkan negara yang lebih selamat dan aman," ujarnya.

Artikel Berkaitan: