Kes DNAA Zahid: Nur Jazlan bidas tindakan Majlis Peguam

Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO membidas tindakan Majlis Peguam yang mempersoalkan keputusan Peguam Negara yang memohon menghentikan prosiding kes Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setelah mendapat persetujuan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada pertuduhan berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perbuatan Majlis Peguam itu memberi gambaran buruk kepada rakyat bahawa sesiapa pun boleh mempertikaikan keputusan Peguam Negara dan hakim di mahkamah.

Malah beliau mendakwa Majlis Peguam juga selama ini dilihat bias dan seperti memilih bulu dalam membuat kenyataan terutamanya apabila melibatkan pemimpin UMNO mahupun Barisan Nasional (BN)

"Majlis Peguam membidas tindakan AGC melepaskan Zahid dan kononnya institusi keadilan negara dicemari dengan teruk akibat kes itu.

"Saya nak tanya kepada Boneka Bisu dalam Majlis Peguam, di mana suara kamu ketika pihak AGC juga menarik balik pertuduhan dan mahkamah melepas dan membebaskan bekas Setiausaha Agung DAP, Guan Eng dalam kes rasuah babitkan pembelian banglo pada 2018 lalu?"

"Tapi memang begitu sikap Majlis Peguam sejak turun temurun kerana mereka dipimpin dan dianggotai sebahagian besar daripada individu lidah bercabang, hipokrit dan anti UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, sepatutnya Majlis Peguam bertindak adil dalam semua kenyataan dan pembelaan mereka tak kira ada kes sekalipun supaya integriti mereka juga tidak dipersoalkan oleh orang awam.

Jelas beliau, sikap Majlis Peguam yang selalu mengeluarkan kenyataan prejudis apabila membabitkan kes terhadap pemimpin UMNO secara tidak langsung menggambarkan mereka memiliki agenda tersendiri dan tidak bersikap profesional.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak nampak satu ayat atau kenyataan daripada Majlis Peguam yang mempertikaikan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) ketika Tommy Thomas menjadi AG, padahal banyak juga kes membabitkan pemimpin PH sama ada digugurkan atau dilepaskan dan dibebaskan.

"Masa itu tak ada seorang pun daripada kamu mempersoalkan perbuatan pendakwa raya menarik balik pertuduhan tak ada seorang pun yang marahkan Tommy Thomas yang dilantik oleh Kerajaan PH dan Mahathir.

"Tak ada pula kamu tuduh sistem keadilan negara dikawal oleh tangan-tangan ghaib," katanya.