‘Sedarlah kerajaan Madani, tempoh bulan madu sudah habis’

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - “Sedarlah kerajaan Madani. Bangun daripada tidur. Tempoh berbulan madu sudah lama habis.”

Demikian tegas Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad susulan negara berhadapan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tinggi dan nilai ringgit lemah.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, keadaan yang berlaku kini membebankan hidup rakyat kerana kebanyakan mereka bertindak untuk meminjam daripada institusi kewangan.

“Saya ingat lagi pada 6 Jun 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan angkuh menyuruh pembangkang menerima kenaikan OPR, kononnya akan memperkukuhkan nilai ringgit. Namun setelah beberapa bulan membebankan rakyat dengan OPR pada 3 peratus, nilai ringgit semakin teruk.

“Sebelum itu pada pertengahan Jun 2023, Anwar mengumumkan langkah mengatasi kejatuhan ringgit. Realitinya ringgit masih di takuk lemah,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.

Menerusi hantaran itu juga, beliau turut membandingkan sewaktu pemerintahan Perikatan Nasional (PN) eksport domestik adalah melebihi daripada import negara.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan, kini eksport domestik kurang daripada import negara bermula Januari 2023 hingga Julai 2023 untuk setiap bulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kelemahan ringgit dan eksport domestik, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kos sara hidup melambung.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Bank Negara sering kali melaporkan bahawa ‘Exchange Rate Pass Through’ (ERPT) negara adalah tinggi untuk kelengkapan industri, alatan elektrik, alat ganti serta kos makanan.

“Para peniaga yang dalam industri yang berkaitan barang tadi banyak merungut yang mereka terpaksa memilih sama ada menaikkan harga atau menanggung kerugian besar.

“Justeru, kerajaan mesti bekerja dalam mod kecemasan. Jangan berdolak-dalih lagi. Orang Melayu sudah memberi amaran dengan menolak Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya enam negeri baru-baru ini,” ujarnya.