Langkah BNM kekalkan OPR pada 3.00 peratus memang dijangkakan - Penganalisis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TINDAKAN Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras semasa 3.00 peratus sememangnya dijangkakan, kata penganalisis.

Ahli Ekonomi Kanan OCBC Bank, Lavanya Venkateswaran berkata, keputusan yang diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada Khamis, juga adalah seiring dengan pandangan konsensus serta bank tersebut.

Namun, pada mesyuarat kali ini, bank pusat itu telah bertindak menyenaraikan satu lagi risiko penyusutan pertumbuhan berbanding kenyataan yang dibuat pada mesyuarat Julai lepas iaitu "penurunan pengeluaran komoditi yang lebih ketara serta berlanjutan," sekali gus menekankan kebimbangan mengenai fenomena El Nino yang berterusan.

Dalam nota penyelidikan pada Khamis, beliau berkata, unjuran BNM terhadap inflasi juga kekal tidak berubah berbanding kenyataan yang dibuat dalam mesyuarat sebelum ini.

"BNM menyatakan bahawa inflasi yang mereda itu akan berterusan sehingga tempoh separuh kedua 2023 berikutan kadar asas lebih tinggi daripada separuh kedua 2022,” katanya.

Malah, sama seperti kenyataan sebelum ini, bank pusat itu juga masih mengekalkan pandangan bahawa "risiko terhadap prospek inflasi kekal tinggi dan bergantung kepada dasar domestik berkaitan subsidi dan kawalan harga, haraga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan selain inflasi teras yang berterusan.”

Lavanya juga menyifatkan BNM tidak lagi melihat pendirian itu sebagai "sedikit akomodatif” seperti yang dinyatakan pada mesyuarat sebelum ini dan menganggap pada paras semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian berkaitan inflasi dan prospek pertumbuhan.

Sementara itu, AmBank Group pula menganggap 125 mata asas dalam normalisasi pasca-Covid-19, telah membawa kepada keseimbangan inflasi - pertumbuhan ke tahap yang diinginkan.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, ia berpendapat bahawa tahun ini akan diakhiri dengan OPR kekal pada paras semasa, disokong dengan keperluan untuk mengekalkan permintaan domestik bersandarkan pandangan terhadap ketidaktentuan di peringkat luaran dan penurunan tekanan inflasi di Malaysia dengan inflasi keseluruhan susut kepada 2.0 peratus pada Julai 2023.

Mesyuarat MPC yang akan datang dijadualkan pada 1-2 November ini iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.

"Sebarang perkembangan berkenaan rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan model upah yang progresif dengan potensi impak jangka panjang, boleh menyebabkan penilaian semula terhadap unjuran OPR bagi 2024,” katanya.

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd bagaimanapun melihat kemuncak OPR adalah pada paras 3.25 peratus tahun ini dengan tiada pengurangan pada separuh pertama 2024.

"Pandangan kami ini didorong oleh beberapa faktor utama; trajektori inflasi pada suku keempat 2023 kekal tidak menentu dengan potensi risiko meningkat daripada (faktor) kenaikan semula harga makanan dan komoditi, pemulihan ekonomi akan perlahan sehingga suku keempat 2023 serta Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) yang mengalami tekanan.

"Kami menjangkakan pemulihan lebih perlahan bagi prestasi perdagangan akibat kitaran rendah teknologi global dan prospek pertumbuhan China yang lemah. Penghantaran eksport berasaskan perkilangan dan komoditi yang bertambah baik akan bergantung kepada permintaan tinggi daripada rakan perdagangan utama di Amerika Syarikat dan rantau Asean,” katanya.

Ekonomi domestik pula dijangka menerima sokongan daripada kegiatan pelaburan yang berdaya tahan manakala perbelanjaan pengguna pula diramal kembali seperti biasa dalam keadaan sentimen pengguna yang suram.

Bank pelaburan itu mengunjurkan ringgit mengalami tekanan pada separuh kedua tahun ini berikutan perbezaan kadar faedah yang besar antara OPR dan Kadar Dana Persekutuan.

"Ringgit mungkin mencatatkan prestasi lebih rendah daripada jangkaan berbanding mata wang lain di Asia Tenggara manakala pemangkin aliran modal ke pasaran-pasaran lain juga berkemungkinan lebih tidak menentu.

"Kami mengekalkan unjuran gandingan dolar AS/ringgit pada akhir suku ketiga 2023 pada paras 4.65-4.75, diikuti dengan 4.70-4.80 pada akhir tahun ini,” katanya. - Bernama