Suria FM beri kelainan menerusi penganjuran Karnival Mega Suria

Suria FM mengadakan Karnival Mega Suria yang bakal diadakan pada 16 September dan 17 September ini di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.
Suria FM mengadakan Karnival Mega Suria yang bakal diadakan pada 16 September dan 17 September ini di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.
A
A
A

BUAT julung kalinya, Suria FM membawakan Karnival Mega Suria yang bakal diadakan pada 16 September dan 17 September ini di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, Suria FM kembali turun padang menemui peminat dengan sentuhan yang berbeza menerusi Karnival Mega Suria 2023 yang bakal berlangsung selama dua hari hasil kerjasama Suria dengan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Acara ini diadakan sebagai tanda terima kasih buat semua pendengar di atas sokongan padu yang mereka berikan selama ini terutama siri Jelajah Suria yang sentiasa dinantikan oleh peminat pada setiap tahun.

“Kami ingin meluangkan lebih banyak masa bersama pendengar setia Suria FM menerusi aktiviti luar dan menyajikan pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan kekeluargaan, pastinya menghiburkan pengunjung dari pagi hingga ke malam,” jelasnya.

Karnival yang berlangsung seawal jam 7 pagi itu bakal diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya gerai makanan, persembahan istimewa dari barisan artis baharu (BBNU), senaman zumba, sesi busking, permainan kanak-kanak, sukan rakyat, pertandingan seperti mewarna, karaoke, dan banyak lagi.

Lebih menarik, pengunjung akan turut dihiburkan dengan acara kemuncak Konsert Karnival Mega Suria pada jam 9 malam membariskan lebih 20 artis popular seperti Bunkface, Dayang Nurfaizah, Masdo, Dolla, Floor 88, Aris Ariwatan, Amir Masdi & The Band, Muss, Nabila Razali, Insomniacks, Ameng, Baggio dan Baby Shima.

Juga penampilan istimewa barisan penyampai Suria FM, Shuib, Ajak, Suraya Borhan, Feeya Iskandar (Cik Piah), Sharifah Shahirah (Rara), Tyzo Xander dan DJ Lin.

Tambah DJ Lin, wang tunai sebanyak RM10,000 turut menanti pengunjung menerusi ‘Tangkap Duit Suria’ dengan membeli barangan eksklusif Suria minimum pembelian sebanyak RM150 di reruai Kedai Suria sepanjang acara berlangsung.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengharapkan Karnival Mega Suria mendapat sambutan baik daripada semua pihak dan orang ramai dijemput hadir bersama seisi keluarga bagi memeriahkan acara secara percuma ini,” ujarnya.

Maklumat lanjut, layari laman sesawang Suria di suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia. Gunakan #karnivalmegasuria2023 #suriafm #segalanyahiburan untuk sebarang interaksi berkaitan karnival ini di laman sosial.