Anjur ceramah tanpa tauliah, YDP Pas Kangar dihadap ke mahkamah

KANGAR - Yang Dipertua Pas Kangar dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Perlis, pada Khamis atas pertuduhan menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri menerusi penganjuran ceramah agama tanpa tauliah di Kangar pada 30 Mac lalu.
Yussaine Yahya, 43, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga mudir sebuah maahad tahfiz al-Quran di Kangar didakwa menganjurkan satu ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub melalui program ‘Solat Tarawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.
Selain itu, perbuatan yang dilakukan turut bertentangan dengan Titah Kenyataan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai Pematuhan Terhadap Dasar dan Peraturan Berkaitan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.