Lebih 330 juta kanak-kanak seluruh dunia hidup dalam kemiskinan ekstrem

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

NEW YORK - Satu daripada setiap enam kanak-kanak terpaksa bertahan dengan pendapatan kurang daripada AS$2.15 sehari, menurut laporan baharu Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Bank Dunia yang dikeluarkan pada Rabu.

Penemuan itu menunjukkan 333 juta kanak-kanak di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan ekstrem - penurunan hampir 50 juta dalam tempoh sedekad yang lalu, menurut Agensi Berita Emirates (WAM).

Bagaimanapun, penulis laporan itu mengatakan berjuta-juta lagi kanak-kanak sepatutnya telah dikeluarkan daripada kemiskinan tegar sekiranya tidak berlaku gangguan yang berkaitan dengan Covid-19 selama tiga tahun.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell berkata, kesan pandemik serta konflik, perubahan iklim dan kejutan ekonomi, telah "menghalang kemajuan" dalam menamatkan kemiskinan kanak-kanak.

Beliau menggesa usaha yang digandakan untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada perkhidmatan penting, termasuk pendidikan, pemakanan, penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial, sambil mengatasi punca kemiskinan tegar.

"Kita tidak boleh mengecewakan kanak-kanak ini sekarang," katanya.

Laporan itu menunjukkan secara global, kanak-kanak membentuk lebih daripada 50 peratus daripada golongan miskin tegar, walaupun hanya membentuk satu pertiga daripada populasi dunia, tambahnya.

Hampir 90 peratus kanak-kanak yang terperangkap dalam kemiskinan ekstrem tinggal sama ada di sub-Sahara Afrika atau Asia Selatan. Sub-Sahara Afrika mempunyai kedua-dua kadar tertinggi iaitu pada 40 peratus pada 2022, dan bahagian terbesar kanak-kanak miskin tegar dunia, lebih 71 peratus - lonjakan ketara daripada hanya di bawah 55 peratus 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Penulis laporan tersebut mengatakan pertumbuhan penduduk yang pesat dan langkah-langkah perlindungan sosial yang "terhad" telah menyumbang kepada peningkatan yang ketara ini. Sementara itu, semua rantau lain di dunia kecuali Asia Barat dan Afrika Utara telah melihat "penurunan berterusan" dalam kadar kemiskinan ekstrem.

Laporan itu memberi amaran bahawa, pada kadar pengurangan semasa, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menamatkan kemiskinan tegar kanak-kanak menjelang 2030, atau SDG 1, tidak akan dipenuhi. - Bernama