266 sekolah agama swasta di Johor belum berdaftar, diluluskan

Mohd Fared menjawab soalan yang dikemukakan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.
Mohd Fared menjawab soalan yang dikemukakan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melalui Bahagian Pendidikan Islam mengesan sebanyak 266 buah sekolah agama swasta di negeri ini masih belum berdaftar dan diluluskan penubuhannya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, angka itu melibatkan 31 sekolah tahfiz, 12 pondok agama, 10 sekolah rendah Islam dan 213 prasekolah.

Jelasnya, JAINJ sedang berusaha memberi pendedahan tentang kewajipan mendaftar kepada institusi pendidikan berkenaan khususnya di peringkat prasekolah berdasarkan Peruntukan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama 1991.

"Terdapat 15 proses atau dokumen wajib yang perlu disediakan dan antaranya ialah status hak milik tanah (agar tidak timbul isu setelah didaftarkan), perakuan dari Jabatan Kesihatan, perakuan dari Jabatan Bomba dan perakuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, surat kebenaran mengajar guru-guru yang dikeluarkan dari Bahagian Undang-undang Syariah merupakan salah satu dokumen wajib yang perlu disediakan bagi memastikan guru-guru yang mengajar di sekolah tahfiz mempunyai tauliah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai jumlah sekolah agama swasta yang tidak berdaftar di negeri ini pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata, melalui semakan yang dilakukan sehingga Julai lalu, sebanyak 215 buah sekolah agama swasta yang telah sempurna pendaftarannya dengan lebih 7,000 pelajar dan ada daripadanya berumur lingkungan seawal 10 tahun sehingga 30 tahun.

"Setakat ini terdapat 37 sekolah agama swasta merangkumi kategori sekolah tahfiz, sekolah pondok, sekolah menengah Islam dan sekolah rendah Islam sedang dalam proses untuk mendapatkan pendaftaran penuh, ada sebahagian sedang dalam proses melengkapkan dokumen pendaftarannya.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, JAINJ melalui Bahagian Pendidikan Islam akan terus memantau dan menerangkan keperluan pendaftaran sekolah ini kepada mereka," ujarnya.