Sinar Harian terus bantu PDRM perangi jenayah, keganasan

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Polis Selangor Memerangi Keganasan Rumah Tangga di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Nik Justin)
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Polis Selangor Memerangi Keganasan Rumah Tangga di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID (Gambar kecil: Nik Justin)
A
A
A

SHAH ALAM - Sinar Harian buat julung-julung kali berkolaborasi bersama Polis Selangor dalam Seminar Memerangi Keganasan Rumah Tangga yang berlangsung menerusi enam slot ceramah dalam program Sinar Live pada Rabu.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, seminar itu bertujuan memupuk kesedaran orang ramai mengenai jenayah berkaitan keganasan rumah tangga memandangkan kes jenayah domestik tersebut antara yang tertinggi di Selangor.

“Kami bersetuju bekerjasama dengan Polis Selangor untuk menjayakan program ini kerana menyokong sepenuhnya usaha menangani isu berkenaan.

“Sinar Live khas hari ini bukan sahaja bersiaran langsung pada sebelah pagi malah kita juga menyediakan enam slot khas ceramah.

“Antaranya penceramah daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, agensi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nik Justin, pihaknya akan memperkasakan lagi kerjasama dan hubungan bersama polis Selangor melalui beberapa perancangan seperti penganjuran kempen dan karnival mini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Misi kita adalah untuk merakyatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi mereka lebih akses kepada masyarakat di sekitar Selangor.

“Platform akhbar ini boleh digunakan untuk menyampai sebarang hebahan dan maklumat bagi membantu pihak PDRM memerangi jenayah dalam kalangan komuniti di Selangor,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain isu keganasan rumah tangga, mereka juga mahu menekankan kesedaran berhubung jenayah digital terutama kepada golongan muda.

Ujarnya, isu tersebut dilihat semakin membimbangkan dan berleluasa, maka tindakan segera perlu dilakukan khususnya melalui media.