Kukuh kerjasama awam-swasta lancarkan projek infrastruktur KSP RMK12

Amirudin bercakap pada perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu. - Foto Bernama
Amirudin bercakap pada perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri dengan pihak swasta perlu diperkukuhkan melangkaui penswastaan, dalam usaha melancarkan inisiatif pembangunan projek infrastruktur negara di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sudah tiba masanya projek infrastruktur negara tidak hanya menumpukan pembangunan oleh pihak kerajaan sahaja, sebaliknya di gabungkan dan dicantumkan dengan usaha menyeluruh yang dilaksanakan oleh pihak swasta.

"Ini supaya pembangunan, khususnya aspek infrastruktur besar negara seperti pelabuhan, lebuh raya dan sebagainya digabungkan dengan inisiatif swasta yang bukan hanya dalam bentuk penswastaan tetapi gabungan bersama dengan rencana oleh pihak kerajaan.

"Kerajaan merangka bandar baharu, kawasan perindustrian baharu, kawasan perkampungan baharu yang mana usaha-usaha ini digabungkan dengan inisiatif pihak swasta yang dananya juga digabungkan antara dana persekutuan atau dana negeri dan juga dana swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan telah menambah jumlah siling perbelanjaan sebanyak RM15 bilion di bawah KSP RMK12, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM415 bilion.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat. - Bernama

Artikel Berkaitan: