Rakyat Terengganu, Kelantan bakal terima manfaat inisiatif KSP RMK12

Kakitangan Kementerian Ekonomi, Nur Umairah Ramli menunjukkan buku KSP RMK12 bertemakan Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama
Kakitangan Kementerian Ekonomi, Nur Umairah Ramli menunjukkan buku KSP RMK12 bertemakan Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi di Bangunan Parlimen. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Strategi dan inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bakal memberi limpahan ekonomi kepada rakyat termasuk di negeri di bawah pembangkang.

Inisiatif antaranya mempertingkatkan potensi ekonomi wilayah termasuk di Projek Taman Biopolimer Kerteh (KBP), Terengganu, serta penyaluran bantuan segera RM800 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah, menunjukkan keprihatinan kerajaan membangunkan negara dan memacu pertumbuhan ekonomi secara adil.

Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Tekonologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyambut baik usaha kerajaan Persekutuan menyediakan ekosistem perniagaan lebih baik di kawasan KBP yang bakal membawa banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Sememangnya, kawasan perindustrian ini memerlukan infrastruktur lengkap dan perkara ini tidak boleh dicapai tanpa bantuan dan kerjasama kerajaan Persekutuan. Apabila KSP RMK12 menekankan satu daripada pusat perindustrian yang diberi keutamaan itu adalah di Terengganu, kita menyambut baik," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, setakat ini, jumlah pelaburan yang dikumpul di KBP meningkat kepada RM5.6 bilion dengan lebih 5,000 pekerjaan diwujudkan terutama bagi masyarakat setempat.

Di KELANTAN, penyaluran bantuan segera bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di negeri itu memberi kelegaan kepada rakyat terutama usahawan yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman.

Pengerusi Koperasi Usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) Muslim Kelantan, Kamarudin Yunus berkata, bekalan air bersih merupakan isu utama rakyat negeri itu yang memberi kesan terhadap perniagaan.

"Sudah pasti bantuan segera ini dapat menyelesaikan kesukaran peniaga dan penduduk kampung yang mengalami masalah air selama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di PULAU PINANG, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berharap, dua projek yang digariskan dalam RMK12 di negeri itu iaitu projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan perluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan.

Pada masa sama, Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri akan membantu memudah cara pelaksanaan bagi kedua-dua projek tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul KSP RMK12 2021-2025 di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, 11 projek pengangkutan dan logistik baharu diperkenalkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara yang mampan dan berdaya tahan.

Projek berkenaan antaranya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B; projek LRT Pulau Pinang; perluasan LTAPP; pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang; dan naik taraf Lebuhraya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan. - Bernama