Tiada isu kestabilan politik, ini masa sesuai melabur di Malaysia - Anwar

Anwar beramah mesra bersama tetamu yang menghadiri Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama tetamu yang menghadiri Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur asing dan peneraju industri dari rantau Asia bahawa isu kestabilan politik di Malaysia tidak berbangkit ketika ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melabur di Malaysia, apatah lagi dengan pelbagai petunjuk ekonomi dan dasar-dasar jangka panjang yang diperkenalkan kerajaan termasuklah Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata, perkara itu dijelaskan kepada lebih 400 hadirin yang kebanyakannya adalah pelabur pada sesi perbualan tengah hari anjuran badan pemikir, Milken Institute di Singapura pada Rabu yang turut menganjurkan Sidang Kemuncak Asia ke-10 selama tiga hari di republik itu.

Perdana Menteri yang berada di Singapura dalam lawatan kerja sehari, antara lain menyertai dua sesi khas Sidang Kemucak Asia Ke-10 Milken Institue itu, A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dan Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.