Djokovic dijangka kekal dominan

Djokovic - Foto EPA
Djokovic - Foto EPA
A
A
A

BINTANG sensasi, Novak Djokovic yang merangkul gelaran Grand Slam ke-24 pada Ahad lalu akan kekal dominan untuk tempoh beberapa tahun mendatang.

Ini kerana kata Andy Murray, tiada pemain muda era ini yang mampu mencapai prestasi atau setanding pemain Serbia itu.

Kejayaan Djokovic memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) menyaksikan dia menyamai rekod Margaret Court bagi gelaran perseorangan.

"Terpulang kepada pemain muda untuk mencabar Novak, tetapi ia dijangka tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

"Dia sekali lagi membuktikan sebagai pemain terbaik di dunia dan bagi saya bergantung kepada pemain muda untuk terus meningkat dan mengatasinya," ujar Murray.

Pemain berusia 36 tahun itu adalah seorang daripada 'Big Three' dengan Rafael Nadal dan Roger Federer yang menguasai tenis lelaki sejak dua dekad lalu.

"Penguasaan berpanjangan Novak paling hebat. Dia bermain pada tahap ini untuk tempoh yang sangat panjang," kata Murray.

Murray merupakan pemain Britain yang memenangi tiga gelaran Grand Slam.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai lalu, pemain berusia 20 tahun, Carlos Alcaraz menamatkan penguasaan Djokovic di Wimbledon selepas jaguh Serbia itu muncul juara empat kali berturut-turut di All England Club.

Bagaimanapun, Murray percaya jangkaan yang dibuat ramai pihak adalah silap selepas kejayaan pemain muda Sepanyol itu.

"Selepas Wimbledon, ramai menjangka perubahan akan berlaku, tetapi saya beranggapan sebaliknya, Novak terus unggul," katanya.