Bapa kepada lima anak didakwa lakukan amang seksual

Kengganthran didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan bulan lalu.
Kengganthran didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan bulan lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di Taman Bukit Mewah di sini pada 30 Ogos lalu.

Tertuduh, R Kengganthran, 41, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraidah Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun lapan bulan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah alamat no 04-12, Blok 4, Jalan Megah Ria 2/2 Taman Bukit Mewah, Tampoi pada jam 6.30 petang, 30 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama dengan cara menyuruhnya memegang kemaluan tertuduh di tempat dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit kesalahan, setiap satu kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Nur Farah Wahida Farawahida Shahudin mencadangkan kepada mahkamah wang jaminan RM20,000 selain dilarang mengganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai serta melapor diri di balai berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah membenarkan diikat jamin dengan jumlah yang rendah.

"Saya tak buat tuan, isteri satu orang kerja, saya tak kerja jaga anak, anak ada lima orang," katanya yang merupakan rakan kepada ibu mangsa.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM12,000 berserta tiga syarat yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahkan dokumen dan lantikan peguam pada 9 November depan.