30 tokoh dunia berkumpul di NHCCE 2023

Sivakumar (tengah) diiringi oleh Shahul (dua kanan) ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran NHCCE 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur - Foto : ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sivakumar (tengah) diiringi oleh Shahul (dua kanan) ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran NHCCE 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur - Foto : ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 30 tokoh terkenal dunia dalam bidang modal insan, pengamal sumber manusia (HR) akan berkumpul di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi menjayakan National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 yang akan berlangsung 30 hingga 31 Oktober ini.

Bertemakan 'Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan' NHCCE diadakan bertujuan untuk membantu organisasi dan pengamal sumber manusia dalam menghadapi cabaran di tempat kerja.

Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood berkata, program itu merupakan lanjutan daripada kejayaan NHCCE 2022 yang menerima sambutan menggalakkan daripada peserta-peserta dari rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, antara tokoh yang akan hadir termasuklah Profesor Perniagaan di Ross School of Business, Universiti Michigan, Frank Furness, Dave Ulrich yang mendapat jolokan bapa HR moden.

"Turut terlibat, Pengasas dan bekas Presiden Northwest London Speakers Club, Dr Donald H Taylor yang juga merupakan Pengerusi The Learning and Performance Institute, serta beberapa pemimpin industri tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran NHCCE 2023 di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Ketua Jabatan Pengiklanan Sinar Harian,Airol Fadley Limin (tiga kanan) menerima mockup logo Sinar Harian daripada Sivakumar selaku rakan media rasmi NHCCE 2023 yang akan berlangsung pada 30 hingga 31 Oktober ini. - Foto : ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ketua Jabatan Pengiklanan Sinar Harian,Airol Fadley Limin (tiga kanan) menerima mockup logo Sinar Harian daripada Sivakumar selaku rakan media rasmi NHCCE 2023 yang akan berlangsung pada 30 hingga 31 Oktober ini. - Foto : ASRIL ASWANDI SHUKOR

Majlis Pelancaran NHCEE 2023 telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar

Selain itu katanya, NHCCE kali ini turut menjemput penulis terkenal dunia berkenaan perubahan manusia, Dr Justin Cohen dan Ghanim Al-Muftah, seorang aktivis penstriman dalam talian berusia 21 tahun dari Qatar yang menjadikan ketidakupayaannya sebagai kisah yang memberi inspirasi kepada ramai orang.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan mengendalikan perbincangan merangkumi Teknologi dan Inovasi; Kepimpinan dan Pertumbuhan; Motivasi dan Kesejahteraan; Pembelajaran dan Pembangunan dan Tenaga Kerja Dinamik dan Tempat Kerja Masa Depan.

"NHCCE akan membuka jalan kepada wacana baharu dalam pembangunan modal insan, memperkasakan pengamal HR untuk mengambil peranan yang lebih strategik dalam organisasi masing-masing," ujarnya.

Difahamkan NHCCE kali ini bakal menghimpunkan kira-kira 10,000 peserta dan pelawat daripada rantau ini.

Ia menyediakan lebih daripada 400 pempamer terkemuka dalam memperkenalkan model peningkatan kemahiran, teknologi baru dan platform kesejahteraan yang akan menggalakkan pertumbuhan organisasi serta perkembangan individu.

Sementara itu, V Sivakumar berkata, acara ini menggalakkan inovasi dan menyediakan ruang untuk perbincangan yang merangsang pemikiran tentang trend serta strategi masa depan.

Jelas beliau, langkah pembangunan modal insan yang moden dan inovatif adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi mampan.

"Kami percaya persidangan ini memainkan peranan penting dalam membentuk wacana baharu untuk pembangunan bakat.

"Ini akan meningkatkan Malaysia di persada global dan muncul sebagai hab ekonomi serantau yang kukuh.

"Ia sekali gus memacu pelaburan asing berkualiti, yang seterusnya akan menyediakan peluang pekerjaan lebih baik untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu HRD Corp memaklumkan pas masuk ke NHCCE 2023 kini juga dibuka untuk pembelian di mana pas standard berharga RM2,500, manakala pas kumpulan boleh didapati dengan harga RM2,250 setiap orang dengan syarat sekurang-kurangnya tiga peserta.

Penjawat awam pula hanya perlu membayar RM1,800 untuk pas kerajaan, sementara pelajar hanya perlu membayar RM500 untuk mendapatkan pas pelajar.

NHCCE 2023 juga membuka penjualan pas antarabangsa kepada delegasi luar negara pada harga AS$1,000 untuk pas standard dan AS$900 untuk setiap orang bagi pas kumpulan, dengan sekurang-kurangnya tiga orang delegasi.

Sempena sambutan Hari Malaysia, mereka yang berminat berhak menerima diskaun sebanyak lima peratus ke atas semua pas dari 1 hingga 16 September 2023.