Mayat dalam kereta: 3 lagi suspek ditahan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Zam Halim
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Zam Halim
A
A
A

SUBANG JAYA - Seramai tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki melarikan seorang lelaki, sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah kereta di Batu 14, di sini, pada 6 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Superintenden Zam Halim Jamaluddin, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an ditahan Jumaat lalu, manakala seorang individu dipercayai teman wanita mangsa ditahan sehari kemudian.

"Kita turut menahan seorang lagi lelaki berusia 40-an dalam serbuan di Johor semalam, ia adalah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zam Halim berkata, sebelum ini polis menahan empat lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun secara berasingan di sekitar Lembah Klang, yang disyaki melarikan mangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Sungai Besi, di sini, pada 3 September lalu.

"Kesemua lima individu termasuk suspek wanita itu disambung reman sehingga 13 September (Rabu), manakala seorang lelaki yang ditahan pada Jumaat lalu direman sehingga esok.

"Manakala seorang lagi suspek lelaki yang ditahan di Johor pula direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian pada 3 September lalu, mangsa yang juga seorang penganggur dilarikan empat lelaki sebelum bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil, di sini, pada awal pagi 4 September.

Susulan dari laporan itu, polis kemudian menahan empat lelaki sebelum memperoleh maklumat susulan dan menemui mayat mangsa dalam kereta Proton Gen2, awal pagi Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan siasatan awal Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, kejadian dipercayai bermotifkan dendam akibat mangsa bersama teman wanitanya yang juga suspek keenam melarikan barang milik suspek utama.

Setakat ini siasatan oleh Polis Kuala Lumpur dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang manakala siasatan oleh Polis Kontinjen Selangor dijalankan mengikut Seksyen 302 kanun yang sama atas kesalahan membunuh.

Bedah siasat ke atas mangsa di Hospital Serdang, mendapati dia mengalami kecederaan patah rahang dan tulang rusuk serta retak pada bahagian tengkorak.