Polis belum terima permohonan, peserta perhimpunan boleh dikenakan tindakan

Ayob Khan bercakap kepada pemberita sempena sambutan ulang tahun Pasukan Gerakan Udara ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh pada Isnin.
Ayob Khan bercakap kepada pemberita sempena sambutan ulang tahun Pasukan Gerakan Udara ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Penganjur dan peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di hadapan Kompleks Sogo di ibu negara, Sabtu ini boleh dikenakan tindakan tegas pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan atau notis pemakluman daripada penganjur berhubung perhimpunan tersebut.

Menurutnya, sepertimana termaktub di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur sepatutnya mengemukakan permohonan lima hari sebelum tarikh berhimpun selain mendapatkan kebenaran dan persetujuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti sekitar.

"Saya harap mereka buat ikut prosedur, kalau tidak, kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Kalau ikutkan tarikh perhimpunan diadakan itu, hari ini adalah hari terakhir penganjur perlu kemukakan permohonan, tetapi saya belum pasti permohonan itu sudah dibuat atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan ulang tahun Pasukan Gerakan Udara ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini pada Isnin.

Hadir sama, Komander Pasukan Gerakan Udara, Datuk Noor Sham Md Jani.

Ayob Khan berkata, pematuhan prosedur adalah terpakai kepada mana-mana pihak yang mempunyai rancangan untuk membuat sebarang perhimpunan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam konteks ini, saya difahamkan perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Sogo, oleh itu mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Selain itu, mestilah tiada bantahan daripada masyarakat sekitar seperti pemilik-pemilik kedai atau Sogo sendiri yang akan buat bantahan dalam tempoh 48 jam. Itu syarat yang perlu dipenuhi oleh mana-pihak yang ingin membuat perhimpunan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo pada Hari Malaysia, 16 September ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dilapor berkata, kempen dijadual bermula jam 2 petang itu bertujuan untuk membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.