RMK12: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.0-5.5 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi negara dijangka berkembang antara 5.0 dan 5.5 peratus setahun untuk baki Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), didorong oleh permintaan dalam negeri, terutamanya perbelanjaan sektor swasta.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal RMK12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita pada harga semasa diunjur meningkat sebanyak 4.6 peratus setahun kepada RM61,000 (AS$14,250) pada 2025.

Potensi pengeluaran Malaysia pula dijangka berkembang antara 5.5 dan 6 peratus setahun bagi tempoh 2023-2025 di bawah RMK12, didorong oleh produktiviti yang lebih tinggi.

Dalam tempoh kajian semula (2021-2022), katanya potensi pengeluaran berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.9 peratus setahun disumbang oleh pertumbuhan produktiviti buruh yang lebih baik sebanyak 3.7 peratus setahun.

Bagi tahun 2023, ekonomi negara diunjur berkembang pada kadar 4.0-5.0 peratus.

"Inflasi meningkat kepada 3.3 peratus pada 2022. PNK per kapita pada harga semasa adalah sebanyak RM52,968 (AS$12,035) pada 2022, lebih tinggi berbanding RM42,838 (AS$10,191) pada 2020.

"Dalam tempoh kajian semula, tujuh daripada 12 sasaran ekonomi makro terpilih telah dicapai, empat sasaran berada pada landasan yang ditetapkan manakala satu sasaran masih ketinggalan.

"Di samping itu, empat daripada lapan sasaran matlamat pelbagai dimensi telah dicapai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penggunaan swasta dijangka meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 6.1 peratus, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dengan ekonomi kekal pada tahap guna tenaga penuh dan kadar inflasi dijangka kekal terkawal.

Selain itu, katanya sektor pembinaan dijangka kembali pulih disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman.

Reformasi sektor akan dipercepat dengan melonjakkan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), iaitu yang berkaitan tenaga, teknologi dan pendigitalan, elektronik dan elektrik (E&E), pertanian dan asas tani serta nadir bumi bukan radioaktif.

"Lima industri HGHV ini dikenal pasti sebagai sebahagian daripada Anjakan Besar dalam Kajian Separuh Penggal RMK12. Pelaksanaan reformasi melalui Anjakan Besar ini dijangka menyokong sasaran pertumbuhan dalam semua sektor.

Sektor perkhidmatan juga dijangka berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 5.7 peratus, diterajui terutamanya oleh aktiviti berkaitan pengguna seperti dalam subsektor perdagangan runcit, penginapan serta makanan dan minuman.

Katanya usaha juga akan diambil bagi meningkatkan sumbangan subsektor perkhidmatan moden dengan memberi tumpuan kepada industri perkhidmatan ICT dan memanfaatkan teknologi kewangan, sebagai satu daripada inisiatif di bawah Anjakan Besar Industri HGHV Berasaskan Teknologi dan Digital.

Menurut laporan itu, subsektor elektrik akan diperkukuh melalui pertambahan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) dengan sasaran sebanyak 31 peratus pada 2025, selari dengan Anjakan Besar Industri HGHV Berasaskan Peralihan Tenaga.

Bagi sektor pembuatan, ia dijangka berkembang sebanyak 4.9 peratus setahun, dengan keutamaan akan diberi untuk mempercepat peralihan ke arah sumber pertumbuhan baharu dalam sektor, terutamanya E&E.

"Langkah akan diambil untuk mempergiat pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan kompleks dengan meningkatkan aktiviti pembuatan front-end termaju dan memperkukuh ekosistem keseluruhan, terutama dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), pempakejan IC, fabrikasi wafer, sistem terbenam, perkhidmatan ujian dan kejuruteraan reka bentuk,” katanya.

Pertumbuhan sektor pertanian diunjur menyederhana sebanyak 2.7 peratus setahun, disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah yang terus kekal rendah manakala sektor pembinaan dijangka berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 6.7 peratus, dipacu oleh subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman.

Sektor perlombongan pula dijangka berkembang sebanyak 3.1 peratus setahun, didorong oleh peningkatan dalam pengeluaran gas asli.

Menurut laporan itu, pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM301 bilion setahun pada harga semasa, disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada merentas sektor utama ekonomi yang lebih cepat.

Pelaburan awam dijangka berkembang sebanyak 3.9 peratus setahun atau purata RM83 bilion setahun pada harga semasa disumbang oleh perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dan perbelanjaan modal oleh perusahaan awam bukan kewangan.

Eksport kasar diunjur menyederhana sebanyak 3.7 peratus setahun, sejajar dengan prospek perdagangan global manakala import kasar diunjur berkembang sebanyak 3.6 peratus setahun berikutan peningkatan yang stabil bagi barangan pengantara dan modal untuk menyokong aktiviti pembuatan dan pelaburan.

Secara keseluruhan, katanya imbangan perdagangan diunjur mencecah RM290 bilion pada 2025.

Inflasi pula dijangka berada pada kadar antara 2.8 dan 3.8 peratus setahun disebabkan oleh pelaksanaan subsidi bersasar secara berperingkat, permintaan domestik yang lebih kukuh dan penambahbaikan dalam pasaran buruh.

"Usaha akan diperkukuh untuk membendung tekanan inflasi dengan meningkatkan stok pelbagai barangan makanan serta menambah baik kecekapan pengagihan bagi memastikan bekalan tidak terganggu,” katanya.

Menurut laporan itu, usaha bersepadu akan diambil untuk menangani isu harga bagi meningkatkan kuasa beli dan kesejahteraan rakyat, khususnya kumpulan mudah terjejas.

"Bagi meringankan beban rakyat, mekanisme sedia ada akan disemak semula dengan menyediakan sistem perlindungan sosial yang komprehensif dan inklusif.

"Langkah akan diambil untuk membangunkan pangkalan data bersepadu bagi menambah baik mekanisme penentuan sasaran subsidi, memperkemas saluran penyampaian dan membolehkan pelaksanaan program bersasar termasuk pengenalan gaji progresif,” katanya. - Bernama