DAP bukan komunis, laksana dasar politik sederhana - Anthony

Anthony - Foto Bernama
Anthony - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - DAP mengambil pendekatan ke arah ‘centrist’ yang mempunyai pandangan atau dasar politik sederhana.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah berjanji kepada rakan gabungan kerajaan khususnya UMNO bahawa parti akan sentiasa bersederhana dalam membuat keputusan dan dasar.

“Sebagai parti berasaskan demokrasi sosial, kami menjelaskan bahawa kami bukan parti komunis.

“DAP akan sentiasa mengambil pendekatan politik, jadi sudah tiba masanya khususnya komponen Kerajaan Perpaduan untuk bergerak ke arah pusat graviti,” katanya sewaktu berucap pada Persidangan Tahunan DAP 2023 di Hotel Marriott pada Ahad.

Pada masa sama, beliau memberitahu kini semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan menggunakan politik jalan tengah dan dapat dibuktikan menerusi kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, perjuangan DAP juga mengikut prinsip teras Rukun Negara.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa tidak ada isu untuk DAP dalam menegakkan prinsip yang jelas, termasuk Islam sebagai agama persekutuan tetapi juga dalam memastikan kebebasan beragama,” katanya.

Dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik dan agama, beliau menambah bahawa kebebasan beragama perlu dipertahankan dan dilindungi.

Artikel Berkaitan:

“DAP akan menyokong dan mempertahankan prinsip ini. Kita perlu menghormati sensitiviti antara satu sama lain kerana ia penting untuk dibawa ke dalam masyarakat pelbagai budaya," ujarnya.