Vape antara cabaran penting pasukan Klinik Berhenti Merokok

Dr Zaini (dua dari kanan) mengiringi Hilmi (dua dari kiri) melawat reruai pameran sempena program Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Sabtu.
Dr Zaini (dua dari kanan) mengiringi Hilmi (dua dari kiri) melawat reruai pameran sempena program Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Vape antara cabaran penting kepada pasukan kesihatan di Klinik Berhenti Merokok di negeri ini berikutan bahan itu mudah didapati dan turut diambil oleh pelajar.

Pengarah Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagaimanapun bantuan Klinik Berhenti Merokok menunjukkan individu terbabit berjaya menghentikan tabiat buruk itu.

Menurut beliau, setiap klinik berhenti merokok melaksanakan sesi kaunseling dan rawatan kepada perokok yang berusaha untuk hidup lebih sihat.

"Cabaran kita hari ini ialah peningkatan penggunaan vape yang bukan sahaja dalam kalangan dewasa tetapi pelajar.

"Vape juga mudah didapati di premis tertentu dan dijual secara dalam talian yang menggalakkan lebih ramai membeli melalui platform itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Kelantan 2023 pada Sabtu.

Dr Zaini memberitahu, klinik berhenti merokok di negeri ini turut menyediakan pakar dan perubatan jika perlu.

"Inilah cara kita membantu mereka tetapi paling penting ialah kesedaran perokok itu sendiri yang berusaha tinggi untuk berhenti daripada tabiat berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meminta kerjasama semua pihak membantu jabatan itu untuk menyebar luas bahaya merokok dan penggunaan vape.

"Kesan jangka panjang vape sebenarnya lebih berbahaya daripada merokok," katanya.

Program yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah itu turut dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk derma darah, pemeriksaan kesihatan, pameran daripada jabatan kerajaan dan cabutan bertuah.