Zulkifly mahu tebus kecewa di Sukan Para Asia

Zulkifly - Foto: Bernama
Zulkifly - Foto: Bernama
A
A
A

ATLET lompat jauh para negara Zulkifly Abdullah menyasarkan mara ke final pada penampilan keduanya di Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China sekali gus memperbaiki pencapaian tempat keempat pada edisi 2018 di Jakarta, Indonesia.

Atlet berusia 27 tahun yang akan beraksi bagi acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) itu berkata, pengalaman beraksi di edisi lepas telah mematangkan dirinya untuk tampil dengan lompatan lebih jauh.

Menurutnya, pada saingan Sukan Para Asia sebelum ini, beliau mengakhiri saingan di kedudukan keempat dibezakan hanya dengan 0.1 sentimeter daripada pemenang gangsa ketika itu.

"Kali ini saya nak tebus balik dan sasarkan lebih jauh lagi, sekurang-kurangnya ada pingat dibawa balik," katanya ketika ditemui di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Jumaat.

Mengulas mengenai penyakit kanser tiroid yang dialaminya, beliau berkata, perkara itu masih dalam proses penyembuhan dan tidak mahu menjadikannya batu penghalang untuk mencapai keputusan lebih baik pada temasya tersebut.

"Saya tidak melayan kesakitan itu dan hanya fikir positif sebab nanti akan mengganggu persiapan saya," katanya.

Sukan Para Asia 2022 Hangzhou akan membuka tirai pada pada 22 hingga 28 Oktober depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: