Kerjasama BN-PH sudah diterima pengundi Pulai - Nur Jazlan

NUR JAZLAN
NUR JAZLAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angin perubahan dalam pola sokongan pengundi Melayu di Parlimen Pulai mula menampakkan penerimaan terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perubahan itu hasil kerja keras jentera UMNO Bahagian Pulai dibantu pimpinan dari seluruh negara yang banyak mengadakan siri penerangan dan pencerahan ketika berkempen dalam tempoh dua minggu ini.

"Bila kempen bermula saja, saya tahu antara cabaran utama pada PRK kali ini adalah untuk meyakinkan orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO di Bahagian Pulai untuk menerima calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) yang dilihat sebagai proksi DAP.

"Sejak tahun 1969 lagi apabila Allahyarham Tok Mat Rahmat jadi calon BN pertama di kerusi Parlimen itu dan saya sendiri menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal sehingga 2004 ke 2018, orang Pulai sudah sinonim bekerja, berkempen dan mengundi calon daripada UMNO.

"Tiba-tiba kali ini mereka terpaksa bekerja, berkempen dan diminta untuk sokong calon daripada parti yang sebelum ini berlawan dengan UMNO," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu, menjelaskan segalanya berubah kini apabila senario politik negara kini, menyaksikan sistem satu parti dominan sudah berlalu dan kini diganti dengan kerajaan campuran.

"Apbila BN bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Perpaduan, yang dalamnya ada DAP, PKR dan Amanah makin bertambah kerisauan penyokong UMNO.

"Apa tidaknya berpuluh tahun juga kita bergasak dengan DAP di DUN Perling dan DUN Kempas, tiba-tiba kami bekerjasama dalam satu pasukan baru.

Artikel Berkaitan:

"Tapi inilah senario politik baru bukan saja di Malaysia, malah di kebanyakan negara lain termasuk di barat. Sistem satu parti dominan sudah berlalu dan kini diganti dengan kerajaan campuran," katanya.

Timbalan Speaker Dewan Negara itu menambah segala jentera BN sudah dikerah bagi mengisi kelompongan jentera PH di Pulai terutamanya daripada parti Amanah yang kekurangan ahli akar umbinya.

"Saya berharap saudara Suhaizan tidak lupa bahawa orang UMNO dari Pulai yang memimpin tangannya bertemu masyarakat Melayu akar umbi dan bukan rakan parti PH.

"Jadi kini terserah kepada jentera PH terutamanya DAP untuk bekerja lebih keras di saat-saat akhir ini, bagaimana untuk tarik seramai mungkin pengundi Cina yang selama ini jadi 'fixed deposit' mereka di Parlimen Pulai. DAP kena pastikan kerusi Pulai yang disandang rakan mereka dalam PH tak terlepas kepada Perikatan Nasional (PN)," ujarnya.

Nur Jazlan turut mengingatkan PH perlukan UMNO untuk memerintah.

"Sekali lagi saya ingatkan pengundi bukan Melayu, PH perlukan UMNO untuk memerintah. Orang Melayu masih cuak dengan bukan Melayu. Hanya UMNO boleh menjadi jambatan mengikat kerajaan. Kalau tidak alternatifnya adalah Pas," katanya.