Op Khas JPJ: 56 motosikal disita gagal patuhi piawaian

JPJ melaksanakan operasi khas Lebuhraya DUKE pada Sabtu.
JPJ melaksanakan operasi khas Lebuhraya DUKE pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 56 motosikal yang diubah suai secara ekstrem telah disita dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Sabtu.

Bahagian Penguatkuasa JPJ dalam satu kenyataan berkata, kesemua motosikal itu turut disita kerana gagal mematuhi piawaian teknikal seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Sebanyak 691 saman dan 155 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh," kata kenyataan itu pada Ahad.

Menurut jabatan itu, operasi terbabit dilaksanakan selama tujuh jam bermula 10 malam menerusi strategi sekatan jalan raya (SJR) di kedua-dua arah Lebuhraya DUKE dengan membabitkan 75 anggota penguat kuasa.

"Unit Peronda Bermotosikal (UPB) turut di tempatkan lokasi lorong tikus dan menahan mana-mana kenderaan yang cuba membuat pusingan lari daripada tindakan penguatkuasaan.

"Operasi ini dijalankan dengan kerjasama JPJ Selangor, Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) susulan aduan awam," katanya.