Gembira dapat rumah baharu menjelang Aidilfitri

Pasangan suami isteri Auseng Ngoh, 35, (kanan) dan Haida Abdullah, 32, bersama tiga anak mereka Muhamad Hafiz Haika, 12, Nur Asyikin, 11, dan Muhammad Syawal Fitri, 7, di hadapan rumah baharu mereka sumbangan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang hari ini. - FOTO BERNAMA
Pasangan suami isteri Auseng Ngoh, 35, (kanan) dan Haida Abdullah, 32, bersama tiga anak mereka Muhamad Hafiz Haika, 12, Nur Asyikin, 11, dan Muhammad Syawal Fitri, 7, di hadapan rumah baharu mereka sumbangan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

GUA MUSANG - Tidak sampai seminggu selepas media mendedahkan kehidupan lima beranak miskin yang tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri di sini, akhirnya impian mereka untuk menduduki rumah baharu tercapai selepas Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) menyumbangkan sebuah rumah.

Mereka mula berpindah ke rumah baharu yang terletak di Kampung Tanah Puteh di sini hari ini, sebaik menerima kunci rumah daripada rombongan MAIK ketika melawat bangsal usang keluarga terbabit pagi semalam.

Haida Abdullah, 32, menyifatkan bantuan rumah baharu itu merupakan rahmat Ramadan dan sekali gus dapatlah keluarganya menyambut Aidilfitri nanti dalam keadaan selesa selepas kisah kemiskinan hidupnya disiarkan dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk MAIK.

"Sungguh terkejut bagi kami sekeluarga hanya tak sampai seminggu kisah hidup keluargaya tinggal di bangsal usang akhirnya kami menerima kunci rumah MAIK untuk perpindahan segera," katanya ketika ditemui di rumah baharunya hari ini.

Haida berkata, keluarganya tidak pernah bermimpi untuk tinggal dirumah baharu sumbangan MAIK itu dalam masa yang singkat dan mungkin rumah itu sudah lama siap dibina selepas diagihkan kepada mangsa banjir besar Disember 2014.

Dia mengakui keluarganya terpaksa tinggal di bangsal usang sejak setahun lalu kerana tidak mampu membayar rumah sewa berikutan suaminya, Auseng Ngoh, 35, yang mengambil upah menoreh getah hanya menperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan.

Katanya, perbelanjaannya juga terpaksa dijimatkan bagi persekolahan tiga anaknya berumur tujuh hingga 12 tahun, itu pun kadangkala tidak dapat ke sekolah kerana habis wang belanja.

"Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak termasuk orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO), guru dan kakitangan kerajaan yang menghulurkan pelbagai sumbangan bagi meringankan beban kami.

Artikel Berkaitan:

"Lebih bernilai lagi bantuan rumah oleh MAIK ini kerana dapat memberi kehidupan kami lebih selesa sampai bila-bila," katanya. - Bernama