16 tahun ke udara, Bernama Radio tampil dengan tagline baharu

Azlan (dua dari kanan) bersama barisan peneraju Bernama Radio.
Azlan (dua dari kanan) bersama barisan peneraju Bernama Radio.
A
A
A

DALAM diam, stesen radio milik Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) sudah 16 tahun ke udara.

Ketua Bernama Radio, Azlan Idris berkata, sepanjang tempoh itu, terlalu banyak untuk dikongsikan mengenai jatuh bangun stesen radio berkenaan yang ditubuhkan pada 3 September 2007.

“Semakin banyak cabaran, semakin banyak pilihan yang ada untuk kekal relevan.

“Kita ada pelbagai topik dan genre dalam menyampaikan maklumat kepada pendengar,” ujarnya.

Tambah Azlan, Bernama Radio kini menggunakan tagline ‘Untuk Anda’ dan masih lagi berlari serta mengejar dalam memberi pengisian sejak tahun 2007.

“Konsep dan sifatnya adalah memberi maklumat kepada pendengar. Namun pengisian kita mungkin kini lebih mudah dan santai untuk diterima pendengar.

“Kita nak kekalkan sifat itu, namun kita harus sampaikan secara ringkas, kerana kecenderungan seseorang mendengar radio kini ialah pengisian yang menarik dan mudah.

“Orang tak suka baca kandungan yang panjang. Orang kini lebih suka membaca atau mendengar yang mudah dan ringkas,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Bernama Radio kini berada di platform MYTV, saluran 711 sejak November 2022 dan dalam usia semuda itu, stesen radio itu mula menggamit minat pendengar.

“Sukacita saya nak maklumkan data bulan Mei, kita menjadi nombor satu daripada 15 stesen radio di aplikasi MYTV Mana Mana.

“Selain menarik pendengar muda mendengar kita di saluran tradisional menerusi frekuensi, kita juga ada TikTok dengan berharap penyampaian kita sampai dalam ‘memudakan’ pengisian di semua platform media sosial,” tuturnya.

Apabila ditanya apakah perancangan Bernama Radio selepas ini, Azlan berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan ‘Radio Bergerak’ menggunakan Camper Van yang pertama di Malaysia bermula suku pertama tahun depan.

Siaran stesen radio ini boleh didengar melalui frekuensi FM 93.9 MHz (KL) FM 107.5 MHz (Johor), FM 100.9 MHz (Kuching) dan FM107.9 MHz (Kota Kinabalu)