Isu monopoli Bernas termaktub bawah Akta 522 - Azman

Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Azman)
Gambar hiasan - Foto 123RF (Gambar kecil: Azman)
A
A
A

SERDANG - Permintaan Sabah agar monopoli import beras yang ketika ini dipegang Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) ditamatkan supaya negeri itu boleh mengimport sendiri bahan makanan ruji tersebut hanya bersifat pandangan peribadi.

Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, ini kerana perkara itu termaktub dalam Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522) di bawah kuasa kerajaan persekutuan.

"Itu pandangan kerajaan negeri tapi ia sebenarnya di bawah Akta 522," katanya ketika sidang akhbar selepas Sesi Dialog Belanjawan 2024 Sub Sektor Padi dan Beras Negara di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata, Sabah mahu monopoli import beras yang ketika ini dipegang Bernas ditamatkan supaya negeri ini boleh mengimport sendiri bahan makanan ruji itu.

Ujarnya, import beras seharusnya diurus sendiri negeri ini dengan pendekatan yang lebih rapi berdasarkan landskap sosial dan keunikan geografinya.

Dalam pada itu ditanya mengenai kenaikan harga beras di Sabah, Azman menjelaskan keadaan tersebut berlaku disebabkan negeri berkenaan menggunakan beras import.

"Sabah menggunakan beras import yang tidak dikawal oleh kerajaan. (Jadi) kenaikan (berlaku) mengikut harga pasaran.

"Orang Sabah dan Sarawak sebenarnya tidak ada isu kenaikan harga beras," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 September lalu, Bernas mengumumkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa pada Jumaat.

Bernas dalam kenyataan berkata, harga baharu itu meningkat sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.

Menurutnya, pelarasan itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan.