MOSTI mesyuarat minggu depan bagi penubuhan jawatankuasa STEM

Lih Kang
Lih Kang
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengadakan mesyuarat minggu depan bersama ketua setiausaha tiga kementerian berkaitan bagi penubuhan Jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, mesyuarat itu akan membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Jawatankuasa khas di peringkat (kementerian) sudah pun melaksanakan beberapa mesyuarat dan minggu depan akan ada mesyuarat bersama KSU (Ketua Setiausaha) daripada beberapa kementerian dan selepas itu akan ditubuhkan jawatankuasa bersama peringkat menteri kementerian terbabit.

"Kami sangat serius kerana saya sudah maklumkan memang ada satu penurunan yang ketara dari segi pelajar menengah atas memilih aliran STEM. Ini kita perlu selesai secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Selangor dan Malaysia Techlympics 2023 peringkat Zon Tengah di sini pada Khamis.

Pada 20 Ogos lepas, Lih Kang dilaporkan berkata MOSTI akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dengan jawatankuasa terbabit akan melibatkan pelbagai pihak termasuk KPM, KPT dan KSM.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu diambil berikutan statistik menunjukkan terdapat penurunan minat dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti bidang STEM, trend yang membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang 2030.

Sementara itu, Lih Kang berkata, pertandingan Malaysia Techlympics bertujuan meningkatkan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM khususnya terhadap pelajar luar bandar, guru dan komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut antara usaha bagi memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan dan membudayakan belia dengan minda kritikal.

Penganjuran Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Tengah adalah zon ketiga selepas Zon Utara dan Zon Sabah sebelum diteruskan di peringkat Zon Sarawak, Selatan dan Timur.

Karnival Minggu Sains Negara 2023 Peringkat Selangor pula merupakan karnival keenam selepas Negeri Sembilan, Kedah, Johor, Pulau Pinang dan Sabah yang telah bermula secara berperingkat pada 17 April lepas dan berlangsung hingga bulan depan.- Bernama