UUM, PTPTN tingkat kualiti graduan penuhi pasaran pekerjaan

UUM dan PTPTN bergambar bersama pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan PTPTN di Balai Tamu.
UUM dan PTPTN bergambar bersama pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan PTPTN di Balai Tamu.
A
A
A

KUBANG PASU - Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan meningkatkan kualiti graduan secara holistik dan memenuhi keperluan industri.

Naib Canselor UUM, Profesor Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama pintar antara dua entiti ini diharapkan dapat memberi keberhasilan dan keberuntungan kepada semua untuk mencurahkan khidmat bakti khususnya dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.

Katanya, PTPTN telah banyak memberi bantuan dan perkhidmatan yang terbaik kepada pihak UUM.

Mohd Foad (dua dari kiri) dan Ahmad Dasuki bertukar-tukar dokumen pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan PTPTN di Balai Tamu, UUM.
Mohd Foad (dua dari kiri) dan Ahmad Dasuki bertukar-tukar dokumen pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dan PTPTN di Balai Tamu, UUM.

"Untuk rekod, secara keseluruhan lebih 115,800 pelajar UUM telah mendapat kemudahan pinjaman daripada PTPTN dan pada 2023, seramai lebih kurang 13,000 peminjam masih aktif menerima bayaran pinjaman pendidikan.

“Hal ini menunjukkan UUM merupakan universiti awam ketiga tertinggi menerima kemudahan pinjaman itu selepas Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurutnya, sebelum ini, PTPTN telah memberi sumbangan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin yang telah berlangsung pada 16 Julai lalu.

"Ia sudah meringankan beban pelajar di UUM yang rata-rata merupakan pelajar asnaf dan pelajar B40.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap MoU ini akan membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua organisasi untuk melebarkan sayap dengan luas, terbang dengan lebih tinggi dan terus cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kehadiran PTPTN ini adalah bagi membangunkan idea-idea baru berkaitan penyelidikan untuk jangka masa pendek dan panjang.

"Jalinan kerjasama ini juga dapat meluaskan jaringan program kerjasama dengan alumni UUM berhubung perkongsian data, di samping mampu meningkatkan kesejahteraan warga PTPTN dan UUM melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan lain-lain bidang kerjasama yang dipersetujui," katanya.

MoU tersebut ditandatangani Mohd Foad mewakili UUM, manakala PTPTN oleh Ahmad Dasuki.