Penerjun skuba bersihkan laut pulau peranginan

Antara penerjun skuba yang akan terjun membersihkan laut Pulau Perhentian Kecil, di Besut pada Sabtu ini. (Gambar kecil: Zuraidah)
Antara penerjun skuba yang akan terjun membersihkan laut Pulau Perhentian Kecil, di Besut pada Sabtu ini. (Gambar kecil: Zuraidah)
A
A
A

BESUT - Seramai 20 penerjun skuba profesional kini sedang bersiap sedia untuk menjalankan misi menyelam bagi membersihkan laut menerusi program ‘Dive Against Debris Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI) Aware' di Pulau Perhentian Kecil, di sini, pada Sabtu.

Melalui program anjuran Yayasan Salam Malaysia (SALAM) dan Black Eye Scuba Team (BEST) di bawah Sea Daddy Diver Services itu, penyelam skuba BEST akan mengeluarkan semua sampah sarap seperti bahan pepejal dari kilang atau diproses yang dibuang, dilupus atau dibiarkan di dalam laut dan persekitaran pantai.

Penasihat program, Datuk Zuraidah Atan berkata, ia termasuk sampah lain terutama beg plastik, botol, pembungkus makaan, puntung rokok, bateri kereta, perkakasan atau peralatan dapur, jaring ikan dan sebagainya yang bersepah, terapung atau tersangkut di batu karang dan memusnahkan kehidupan laut serta menjejaskan pendapatan nelayan.

Katanya, ketika penyelam skuba BEST bertungkus lumus di dasar laut, kira-kira 100 sukarelawan SALAM dibantu oleh penduduk kampung pula akan menjalankan kerja membersih Pantai Pasir Panjang (Long Beach) di pusat peranginan itu.

"Segala sampah yang dikumpul sama ada dari dasar laut dan di pantai serta persekitarannya akan dikumpul, diasing, diukur, ditimbang serta direkod mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh PADI Aware Foundation.

"Aktiviti ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Penerjun skuba akan membersihkan laut pada program ‘Dive Against Debris PADI Aware' di Pulau Perhentian Kecil pada Sabtu.
Penerjun skuba akan membersihkan laut pada program ‘Dive Against Debris PADI Aware' di Pulau Perhentian Kecil pada Sabtu.

Zuraidah menjelaskan, statistik tersebut akan diserahkan kepada PADI Global Database dan jabatan-jabatan tertentu seperti Jabatan Perikanan Malaysia untuk tujuan penyelidikan demi mencapai UN SDGs dan statistik dalaman.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program yang mendapat sokongan daripada pelbagai jabatan dan agensi Pusat dan negeri itu bertujuan memupuk semangat menjaga alam sekitar, khasnya pemuliharaan lautan dan kebersihan pantai selaras dengan slogan 'Menjaga Pantai dan Laut Bersih, Budaya Mulia, Amalan Kita'.

Kata beliau, program yang turut mendapat sokongan Kenanga Investors sebagai rakan kongsi itu adalah usaha Malaysia sama ada pihak swasta dan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau kerajaan mematuhi dan mencapai matlamat UN SDGs.

"Aktiviti ‘Dive Against Debris’ atau terjunan untuk menaikkan sampah sarap dari laut ini memang menjadi aktiviti di beberapa negara yang mempunyai kesedaran berhubung penjagaan laut yang tinggi," tambahnya.

Zuraidah memberitahu, sempena program itu juga, penyelam BEST dan sukarelawan SALAM akan memberi ceramah 'Memelihara dan melestari penggunaan laut dan hidupan marin' kepada 130 warga sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, Kuala Besut dan penduduk kampung.

Ujarnya, penyelam BEST juga akan memberi pencerahan cara menyelam mengikuti SOP pematuhan antarabangsa kepada anak-anak muda berminat yang mungkin boleh menjadi satu kerjaya baharu kepada mereka nanti.