Dicekup kurang 12 jam selepas menyamun

Ruslan Khalid
Ruslan Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua penyamun dicekup kurang 12 jam selepas memecah masuk sebuah banglo di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, ketika kejadian empat penghuni berada dalam rumah termasuk sepasang suami isteri berusia lingkungan 40-an, anak pasangan terbabit berusia enam tahun dan ibu mentua mangsa yang berusia 60 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi itu, dua suspek terbabit mengugut mangsa dan ahli keluarganya dengan pisau serta mengarahkan mereka menyerahkan barangan berharga.

“Suspek mengikat mangsa hingga menyebabkan ibu mentuanya cedera akibat terhiris pisau di jari. Suspek kemudian melarikan beberapa utas jam tangan serta wang tunai dan kerugian dianggarkan lebih kurang RM60,000.

“Mangsa maklumkan kepada pihak polis sejurus kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis dari Balai Polis TTDI menyerbu sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala kira-kira jam 12 tengah hari dan menahan dua lelaki berusia antara 25 dan 30 tahun.

Katanya, polis menemui semula beberapa barang kes yang dipercayai disamun iaitu empat telefon bimbit, tiga utas jam tangan serta beberapa dokumen milik mangsa.

“Polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk samun, pecah rumah dan kes curi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Dengan penahanan kedua-dua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun dan pecah rumah di sekitar kawasan Taman Tun Dr Ismail.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut atau kejadian lain yang bersangkutan, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Brickfields ditalian 0322979222,” katanya.