Pengiktirafan badan sukan penting, pastikan ikut piawaian

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Shahrol Yuzy
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Shahrol Yuzy
A
A
A

PENGIKTIRAFAN daripada badan induk sukan merupakan antara cara untuk menentukan bahawa acara sukan tersebut dijalankan mengikut piawaian serta peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, pengiktirafan daripada badan induk sukan juga bertujuan untuk menentukan pertandingan tersebut diadakan secara adil untuk semua pihak.

Jelasnya, dalam acara sukan bermotor yang diiktiraf, dua atau lebih pengadil (steward) akan ditugaskan untuk mengadili serta memastikan pertandingan tersebut dianjurkan mengikuti peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

"Sebagai contoh, penganjur telah mendapati Ahmad bersalah kerana tidak mematuhi peraturan teknikal didalam Race Saga Cup.

"Akan tetapi, setelah disemak oleh steward, keputusan telah memihak kepada Ahmad oleh kerana penganjur tidak menyatakan dengan jelas peraturan teknikal tersebut yang memungkinkan Ahmad mempunyai pemahaman yang berbeza mengenai peraturan tersebut.

"Jika pertandingan tersebut tidak diiktiraf, siapa yang akan menjadi pengadil?

"Adakah pengadil tersebut mempunyai kredibiliti serta pengetahuan yang cukup untuk mengadili pertandingan tersebut dengan penuh wibawa, adil dan saksama tanpa memihak kepada mana-mana pihak?" katanya pada Khamis.

Selain daripada itu juga, jelas bekas pelumba MotoGP negara itu, salah satu tatacara pengiktirafan ialah memastikan keadaan litar atau trek berada di dalam keadaan yang selamat.

Jelasnya, lazimnya badan induk sukan akan menghantar wakil pemeriksa (track inspector) bagi meneliti setiap inci tempat pertandingan tersebut akan diadakan.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan ini secara menyeluruh dan merangkumi setiap aspek tempat pertandingan tersebut dan bukan hanya keadaan litar.

"Sebagai contoh papan pengiklanan penaja ditepi litar, pemeriksa akan memastikan papan penajaan tersebut jauh dari litar dan tidak merangkumi trajektori (laluan melengkung) pelumba sekiranya pelumba jatuh.

"Jika tiada kawasan atau tempat yang luas di sekitar kawasan trajektori (laluan melengkung) jatuh pelumba, pemeriksa akan memastikan bahawa papan penajaan tersebut diperbuat daripada bahan yang akan mudah pecah sekiranya pelumba terjatuh dan terkena papan tersebut," katanya.

Menurutnya, ia secara tidak langsung akan melindungi pelumba daripada mendapat kecederaan yang serius.

"Terdapat banyak lagi perkara utama yang perlu diteliti untuk pengiktirafan sesuatu pertandingan.

"Sebab itu, pihak insurans hanya akan melindungi acara sukan yang diiktiraf oleh badan sukan berkanun sahaja. Acara sukan bermotor adalah sukan yang berisiko tinggi dan berbahaya.

"Bagaimanapun, pengiktirafan merupakan aspek yang penting bagi memastikan keselamatan penonton, petugas dan juga pelumba terjamin," ujarnya yang berharap perkongsian persatuan itu dapat memberi penjelasan penting sesuatu pertandingan sukan bermotor perlu mendapat pengiktirafan badan sukan.