Pencari madu maut disengat lebah

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki ditemui maut ketika mencari madu lebah di hutan seberang Sungai Korbu berhampiran Kampung Kenang di sini semalam.

Dalam kejadian 6.20 petang itu, Faadelee Mohamad, 30, ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan bengkak di muka akibat sengatan lebah.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung keadaan mangsa sebelum meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya masuk ke kawasan hutan terbabit untuk mencari madu.

"Selesai mencari madu, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan keluar dari kawasan hutan terbabit.

"Khidmat bomba dipanggil untuk menyelamatkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat seterusnya dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat," katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan alahan sengatan lebah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Jeffery Abdullah berkata, sepasukan lapan anggota bersama dua pacuan empat roda bergegas ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Anggota bertindak menggunakan peralatan menyelamat seperti tali, 'webbing' dan pengusung untuk merentas sungai.

"Operasi mengeluarkan mayat mangsa mengalami kesukaran apabila cuaca gelap serta bentuk muka bumi yang tidak rata," katanya.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih tiga jam sebelum ditamatkan pada jam 10 malam.