Tukang kayu didenda RM1,300 ceroboh rumah hendap isteri jiran

Tertuduh (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Rabu atas dakwaan menceroboh rumah jiran.
Tertuduh (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Rabu atas dakwaan menceroboh rumah jiran.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kayu didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas dakwaan menceroboh rumah jiran.

Tertuduh, Mohd Sukhri Mohd Adam, 47 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan berada di bawah rumah jirannya dengan niat menghendap isteri jiran itu.

Perbuatan didakwa dilakukan pada 30 Ogos lalu sekitar jam 10.30 malam di Kampung Gelugor Haji Tahir di sini.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah ditangkap oleh dua orang adik beradik pengadu yang menyedari kehadirannya dalam keadaan mencurigakan di bawah rumah mereka sebelum menghubungi pihak polis.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Khairi Mohamed Noor sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: