Banjir teruk akibat ribut tropika di Brazil, 21 mangsa terkorban

Angka kematian di selatan Brazil akibat ribut tropika yang menyebabkan banjir di beberapa bandar mencecah 21 orang. - Foto Reuters
Angka kematian di selatan Brazil akibat ribut tropika yang menyebabkan banjir di beberapa bandar mencecah 21 orang. - Foto Reuters
A
A
A

MEXICO CITY - Angka kematian di selatan Brazil akibat ribut tropika yang menyebabkan banjir di beberapa bandar mencecah 21 orang, kata pihak berkuasa di negeri Rio Grande Do Sul pada Selasa.

"Rio Grande sedang berkabung. Kini terdapat 21 mangsa yang disahkan maut akibat hujan yang bermula pada Ahad," Agensi Anadolu memetik Gabenor Eduardo Leite sebagai berkata pada X, dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Menurut Leite, kebanyakan kematian berlaku di Mucum, sebuah perbandaran kecil dengan 4,961 penduduk, di mana 15 mayat ditemui selepas Sungai Taquari melimpahi tebingnya dan membanjiri wilayah itu sepenuhnya.

Laporan keselamatan awam terkini menyatakan bahawa 66 majlis perbandaran telah terjejas setakat ini, dengan 2.7 juta penduduk terjejas akibat hujan lebat dengan kawasan tengah dan utara negara itu mengalami kerosakan paling banyak.

Setakat ini, pihak berkuasa melaporkan sebanyak 2,984 orang telah dipindahkan manakala 1,650 orang hilang tempat tinggal.

Media tempatan melaporkan bomba dan anggota pertahanan awam tidak dapat membantu semua mangsa banjir akibat taufan itu, memaksa orang ramai menaiki bumbung kediaman mereka.

Kerajaan persekutuan akan menghantar pasukan penyelamat khas pada Rabu. - Bernama/Anadolu

Artikel Berkaitan: