Tiga lelaki pecah masuk sekolah integrasi diberkas

Barangan yang dirampas polis. Gambar kecil: Mohd Azam
Barangan yang dirampas polis. Gambar kecil: Mohd Azam
A
A
A

AMPANG - Tiga lelaki yang menyasarkan sekolah swasta dan kawasan perumahan yang tiada pengawal keselamatan sebelum melakukan jenayah pecah masuk telah diberkas di Bandar Tasek Kesuma, Beranang, Kajang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan itu susulan laporan seorang guru sebuah sekolah integrasi di Taman Putra Sulaiman dekat sini yang menyedari kejadian premis itu dipecah masuk pada jam 6.30 petang.

"Guru lelaki berusia 28 tahun itu menyedari pintu pejabat dan surau berada dalam keadaan terbuka dengan kedua-dua tombol kunci pintu telah dirosakkan.

"Pengadu kemudian telah masuk ke dalam dan mendapati keadaan berselerak, setelah buat pemeriksaan, wang tunai berjumlah RM200 yang diletakkan di dalam laci meja kakitangan pejabat didapti telah hilang manakala kehilangan barangan lain tidak dapat dipastikan lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azam berkata, pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki berusia 31 hingga 48 tahun pada jam 1 pagi Isnin.

"Kita turut merampas sebuah televisyen, sebuah alat konsul permainan, mesin pengira wang, mesin grinder, mesin penggodam, satu beg kamera, komputer riba dan tujuh telefon bimbit.

"Selain itu, kita turut merampas satu pedang bersarung kayu, satu topi, seluar jeans, sehelai baju kemeja T, wang tunai RM1,070 dan sebuah kereta Proton Perdana," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah dan narkotik manakala hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine, methamphetamin serta benzo.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman selama enam hari bermula Isnin hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan," katanya.