Lelaki, bayi berusia 45 hari maut nahas dekat Pagoh

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

MUAR - Dua individu termasuk bayi lelaki berusia 45 hari maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 144.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, dekat Pagoh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan pada 3.10 pagi itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh lelaki berusia 20 tahun terbabas sebelum dirempuh oleh sebuah lagi motosikal dari arah belakang yang gagal mengelak lalu merempuh kenderaan terbabas itu.

"Pada masa sama, sebuah kereta dinaiki lima sekeluarga tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa yang terbaring di atas jalan sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raiz Mukhliz, penunggang berusia 20 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi lelaki yang berada dalam kereta berkenaan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Katanya, lima lagi mangsa berada di HPSF untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II KUP Azarizam Mookri berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, seramai 18 anggota dari BBP Pagoh, BBP Bukit Gambir dan BBP Tangkak dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, mereka yang cedera dua lelaki, seorang wanita, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berada dalam kereta terbabit serta seorang lagi penunggang motosikal. - Bernama

Artikel Berkaitan: