PM ucap tahniah kepada Presiden baharu Singapura

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tharman Shanmugaratnam yang memenangi Pilihan Raya Presiden Singapura pada Jumaat.
Anwar dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook berkata, beliau berharap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus utuh dalam semangat kekeluargaan.
"Saya mendoakan agar jalinan kerjasama ini mampu membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, selain mengharapkan Singapura terus makmur dan sejahtera di bawah kemudi beliau.
"Selamat maju jaya kepada Tharman Shanmugaratnam sebagai Presiden baharu Republik Singapura!" ujarnya.