Kereta remuk, pemandu terlanggar dapur gas di LPT1

Keadaan kereta jenis Honda Civic dan Toyota Vios alami kerosakan akibat terlanggar objek dipercayai dapur gas di KM116.7 LPT1 di Temerloh pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Objek dipercayai dapur gas di lokasi kejadian.
Keadaan kereta jenis Honda Civic dan Toyota Vios alami kerosakan akibat terlanggar objek dipercayai dapur gas di KM116.7 LPT1 di Temerloh pada Jumaat lalu. Gambar kecil: Objek dipercayai dapur gas di lokasi kejadian.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Dua pemandu berdepan detik cemas selepas kereta dipandu mereka terlanggar objek dipercayai dapur gas yang disyaki terjatuh dari kenderaan lain di Kilometer 116.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur di sini pada malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua pemandu selamat bagaimanapun kereta jenis Toyota Vios dan Honda Civic yang terlibat mengalami kerosakan.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 11 malam daripada mangsa, seorang tukang paip berusia 30 tahun dan pekerja bank berumur 38 tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kedua-dua pemandu terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat objek dipercayai dapur gas berada di lorong kanan lalu dilanggar kereta Toyota Vios.

"Pemandu Honda Civic turut mengalami nasib sama apabila terlanggar objek itu sebelum berhenti mengalihkan objek tersebut ke lorong kecemasan," katanya.

Mazlan berkata, terdapat tiga kenderaan terlibat bagaimanapun hanya dua pemandu tampil membuat laporan polis

Beliau berkata, orang ramai terutama pemandu lori dan kenderaan perdagangan dinasihatkan agar memastikan barang atau muatan yang dibawa menggunakan kenderaan masing-masing diikat kemas bagi mengelak terjatuh ke atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa dan mendatangkan kerugian kepada pengguna lain.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama waktu malam dan patuhi had laju yang ditetapkan," ujarnya.