Siti Nurhaliza perkenal padanan baju ibu, anak perempuan sempena raya

Aidilfitri Siti kali ini lebih bermakna dengan kehadiran Aafiyah.
Aidilfitri Siti kali ini lebih bermakna dengan kehadiran Aafiyah.
A
A
A
LEBIH 11 tahun lamanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin diburu dengan panahan soalan tentang soal zuriat yang barangkali begitu merobek jiwanya.

Pun demikian, ketenangan yang menyelimuti jiwa, kesabaran meniti qada dan qadar, tawakal serta usaha padu yang tidak pernah jemu, akhirnya beliau mengakhiri persoalan itu dengan takdir yang cukup indah.

Pengumuman tentang kehamilannya pada tanggal 13 Oktober 2017 bukan sahaja menggembirakan empunya badan malah menceriakan seantero Nusantara.

Berita itu telah menjadi isu nasional yang menjadi perbualan ramai. Kehadiran cahaya mata yang dinanti-nantikan, Siti Aafiyah Khalid yang lahir pada 19 Mac tahun lalu ternyata cukup bermakna.

Pada 29 April lalu ketika Siti Nurhaliza melancarkan koleksi busana raya, Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza (#crecionnostalgiaraya) wajah pelantun lagu Anta Permana berseri-seri.

Dengan nada menahan sebak, Siti Nurhaliza yang masih membahasakan dirinya sebagai Siti berkata:

"Semua orang tahu, apa yang Siti hendak selama ini. Alhamdulillah, pada tahun ini, impian Siti untuk memakai sedondon dengan anak, Aafiyah termakbul.

"Alhamdulillah juga, ada juga busana daripada Crecion yang dapat Aafiyah gayakan. Secara keseluruhan, Siti dan Aafiyah ada lima pakaian sedondon untuk dipakai, selebihnya bila dia rimas, dia akan pakai baju biasa sahaja."

Mengambil inspirasi raya sedondon bersama Aafiyah, Siti Nurhaliza memperkenalkan baju padanan ibu dan anak perempuan di bawah jenamanya.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, terdapat satu desain anak perempuan yang berusia satu hingga sembilan tahun dengan tiga warna yang berbeza," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran koleksi baju raya jenama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dekoratif seni Selain topik beraya bersama Aafiyah, Siti Nurhaliza galak menceritakan tentang kelainan koleksi baju kurung dan jubah Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza yang membawa konsep Exclusive & Classic.

Terdahulu, ibu jelita itu berkata, beliau menggunakan khidmat pereka muda berbakat besar Danial Arif Shah Budin, lulusan Ijazah Fesyen dari Ecole Duperre Paris untuk menterjemahkan idea rekaannya.

"Konsep yang dipilih kali ini bertemakan dekoratif seni dari Perancis yang bermain dengan corak geometri, simetri, floral dengan variasi warna yang memenuhi cita rasa wanita.

"Busana Creacion ini juga menggunakan fabrik chiffon berkualiti tinggi bagi memberi dua efek berlainan ketika digayakan," ujarnya yang kini mempunyai enam butik di seluruh negara.

Secara keseluruhan, terdapat 43 rekaan antaranya Sabrina Kurung, Aireen Kurung, Zafira Kurung, Sara Kurung, Nisha Jubah, Qisha Jubah dan banyak lagi.

"Semua koleksi yang diperkenalkan ini memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan koleksi busana ready to wear yang minimal untuk digayakan pada hari raya termasuk untuk ke pejabat atau majlis-majlis tertentu," katanya.

Harga busana dewasa dijual pada harga RM200 hingga RM350 sementara kanak-kanak RM90 hingga RM200. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, layari Instagram @crecionbysitinurhaliza atau laman web www.crecion.my.