Andorra luaskan cawangan di Kelantan

Dr Khamsiah (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan MoU ditandatangani oleh Mohamad Damshal, Mohammed Rizlan Abdul Razak dan Ar Aminuddin.
Dr Khamsiah (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan MoU ditandatangani oleh Mohamad Damshal, Mohammed Rizlan Abdul Razak dan Ar Aminuddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Andorra Healthcare Berhad (Andorra) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Lagenda Tunjong Sdn Bhd (LTSB) untuk membangunkan Hospital Pakar Andorra di Kelantan.

Majlis Menandatangani MoU itu ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit; Ketua Pegawai Eksekutif Andorra, Mohammed Rizlan Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif LTSB, Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf.

Pengasas Andorra, Dr Khamsiah Muda berkata, hospital itu akan memiliki 88 katil dan akan dibina di atas tanah berkeluasan 0.95 hektar di Mukim Kota, Kota Bahru.

Menurutnya, hospital tersebut akan menawarkan pelbagai rawatan kepada wanita dan kanak-kanak yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan lima tahun Andorra Healthcare Berhad di Malaysia dan meluaskan jangkauan ke Thailand.

”Andorra berbesar hati memeterai MoU dengan syarikat ternama seperti PHB dan LTSB bagi merealisasikan rancangan kami untuk mempunyai banyak Hospital Pakar Wanita & Kanak-kanak Andorra di seluruh Malaysia.

”Hospital di Kota Bahru adalah sebahagian daripada sasaran kami kerana jumlah populasi wanita yang tinggi di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Khamsiah (tiga dari kanan) bersama tetamu yang hadir.
Dr Khamsiah (tiga dari kanan) bersama tetamu yang hadir.

Berpusat di Seri Kembangan, Selangor, Hospital Wanita & Kanak-kanak Andorra yang mula beroperasi pada tahun 2017 adalah hospital premium berkonsepkan By Women for Women, di mana keperluan dan kesejahteraan wanita dan kanak-kanak menjadi fokus dan keutamaan.

Artikel Berkaitan:

Ia satu-satunya hospital di Malaysia yang terkenal menawarkan perkhidmatan 100 peratus doktor dan pekerja klinikal wanita untuk merawat wanita dan kanak-kanak untuk menjamin keselesaan para wanita ketika mendapatkan rawatan dan khidmat kesihatan di hospital.

Rancangan pembinaan hospital itu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan LTSB untuk membangunkan Hab Komersial Serantau yang terdiri daripada hospital, pusat membeli-belah, hotel, pejabat, pusat konvensyen, kediaman, taman warisan dan lain-lain lagi yang akan menjadikan tarikan baru di Kelantan.