Warga emas huni rumah daif

Rumah dihuni wanita tersebut uzur dan daif.
Rumah dihuni wanita tersebut uzur dan daif.
A
A
A

KUALA KETIL - Seorang warga emas tinggal berseorangan di sebuah rumah daif dan usang di Kampung Banggol Berangan di sini.

Hatun Awang, 70, berkata, dia telah bertahun-tahun tinggal berseorangan di rumah dibina di atas tanah milik arwah abang dan kakak iparnya itu.

Menurutnya, suaminya (Majid Yusof) telah 10 tahun lalu meninggal dunia manakala anak tunggalnya tinggal berjauhan.

"Suami dah lama meninggal dunia. Saya tinggal di sini pun tumpang tanah orang.

"Jika nak pi beli barang makan, terpaksalah jalan bertongkat ke jalan besar seorang diri," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Sinar Harian bersama ADUN Kuala Ketil, Majlis Tindakan DUN Kuala Ketil, pihak Surau Al Barakah Kampung Tembak B serta Skuad Kebajikan dan Amal Masjid Tuan Haji Mohd Desa Bukit Minyak, Pulau Pinang menziarahi warga emas itu di rumahnya.

Tinjauan bersama itu mendapati warga emas berkenaan mengidap penyakit strok dan darah tinggi selain hidup dalam serba kekurangan.

Artikel Berkaitan:

Mansor (tiga dari kiri) berbual dengan Hatun (tiga dari kanan) dalam pertemuan tersebut semalam.
Mansor (tiga dari kiri) berbual dengan Hatun (tiga dari kanan) dalam pertemuan tersebut semalam.

Kediaman Hatun juga kelihatan sangat uzur di mana sebahagian bumbung telah roboh serta bocor manakala ruang berhadapan pintu masuk dijadikan bilik mandi.

Hatun berkata, bahagian bumbung tidak bocor dijadikan tempat untuk tidur serta untuk memasak.

"Ruang tempat tidur tak bocor, selamatlah sedikit daripada hujan," katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, beliau sedih apabila melihat keadaan warga emas berkenaan yang hidup dalam keadaan tidak terurus.

"Rumah didiami itu agak daif dan uzur. Saya akan berbincang dengan pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan JKM bagi membantu wanita ini tinggal di kediaman lebih selesa," katanya.

Beliau berkata, anak warga emas itu diharap dapat pulang bertemu ibunya pada Aidilfitri tahun ini memandang ibunya tinggal berseorangan

"Wanita ini telah lama tinggal berseorangan.Ketika kunjungan MTD dan semua yang hadir pada hari ini, kita dapat lihat dia menzahirkan perasaan rindu begitu mendalam untuk berjumpa dengan anaknya.

"Kita harap anaknya dapat pulang dan menyambut lebaran bersama insan tersayang.

"Diharap berita disiarkan ini dapat mempertemukan semula dua beranak ini," katanya.