Muhammad Nasir penceramah utama A-ICON-STEAM 2023, Indonesia

Muhammad Nasir
Muhammad Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah diberi penghormatan untuk menyampaikan ceramah sempena Persidangan Antarabangsa dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (A-ICON-STEAM 2023) Semarang, Indonesia pada 1 hingga 2 September ini.

Ketua Jawatankuasa Media dan Publisiti A-ICON-STEAM 2023, Yusof Ghani dalam kenyataan berkata, kehadiran Muhammad Nasir selaku tokoh media dalam persidangan itu dapat memberi input perkongsian penting melibatkan pengalaman beliau sepanjang dalam industri media serta kewartawanan.

Ujar beliau, persidangan tersebut merupakan acara perdana yang diselaraskan dengan Pameran Seni Digital Antarabangsa Ke-4 (ASEDAS 2023).

“Kehadiran Muhammad Nasir selaku tetamu jemputan itu dijangka berkongsi pandangan dan pengalamannya dalam ucaptama menerusi penglibatan beliau secara langsung dalam bidang media dan kewartawanan, terutamanya melalui peranan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, mengenai cabaran Industri 4.0 dan teknologi kecerdasan buatan dalam konteks bidang STEAM dalam industri dan sektor media, kewartawanan, penerbitan, dan pendidikan.

“Selain itu, beliau juga akan membincangkan peluang dan cabaran dalam bidang STEAM untuk mencapai penyelesaian kreatif dan inovatif dalam dunia sebenar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengasas dan Presiden ASEDAS International, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, Muhammad Nasir merupakan seorang wartawan dan eksekutif media yang berpengalaman luas, selain pernah memegang jawatan utama dalam beberapa syarikat media ternama serta dilantik sebagai ahli eksekutif kanan di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Kami sangat gembira untuk mempunyai Datuk Muhammad Nasir sebagai penceramah utama dalam persidangan antarabangsa ini.

“Beliau merupakan tokoh yang dihormati dalam industri kewartawanan, penerbitan, dan media, dan telah berdepan dengan cabaran perkembangan teknologi merentasi pelbagai disiplin sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan matematik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Persidangan yang mengangkat tema ‘Digital Today’ itu dianjurkan oleh Persatuan Seni Digital Asia Tenggara (ASEDAS Antarabangsa) dengan kerjasama strategik daripada entiti seperti Persatuan Seni Digital Asia Tenggara Malaysia (ASEDAS Malaysia), Universiti BINUS, Universiti Negeri Semarang (UNNES), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Merlimau Melaka (PMM).

Selain itu, ia turut melibatkan kerjasama lebih 20 buah universiti, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Vietnam, Belgium, China, Korea Selatan, Mexico, India dan lain-lain lagi.

A-ICON-STEAM 2023 turut menampilkan seorang lagi penceramah utama, iaitu Dr Bambang Dwi Wijanarko dari Universiti BINUS, Profesor Dr Zdzislawa Toloczko dari Poland, Zulhaidi Mohd Jawi dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Irwan Hanoko dari Universiti Pradita, Indonesia, yang merupakan Pengasas World Graphic Designers (WGD) dan Ahamad Tarmizi dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

-Tamat-

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!