Syihan teruja berdepan 'percubaan' Syria, China di Chengdu

PENJAGA gol nombor satu skuad bola sepak negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed teruja untuk berdepan Syria dan China pada perlawanan antarabangsa di Chengdu, bulan ini.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 27 tahun itu berkata, skuad Harimau Malaya bakal meraih pengalaman baharu serta dapat mengenal pasti kelemahan apabila menentang Syria dan China yang merupakan pasukan 100 terbaik dunia berbanding Malaysia di posisi ke-136.
“Alhamdulillah, kami dapat aksi persahabatan dengan pasukan ranking lagi tinggi, daripada situ kami boleh dapat satu pengalaman daripada setiap perlawanan, apa yang kami perlu belajar dan apa yang kami perlu perbaiki,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Syihan juga bersedia menjaga rapi gawang negara sekali gus membuktikan kecekapan walaupun kemampuannya seakan tidak diuji dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersama JDT yang turut dipengaruhi kekebalan benteng pertahanan skuad Harimau Selatan itu.